Nasional

Kesan lockdown kepada rakyat dan negara, bersediakah kita?

OLEH AHMAD ZAHID HAMIDI

RENTETAN daripada keputusan kerajaan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini, timbul pelbagai andaian dan pandangan.

Ada sesetengah pihak berpandangan daripada kerajaan lanjutkan PKP terus mengisytiharkan perintah berkurung atau lockdown sahaja.

Saya berpandangan langkah kerajaan melanjutkan PKP adalah satu langkah bijak dan berhati-hati demi menjaga kemaslahatan bersama, kerana perlu difahami ada perbezaan ketara antara Perintah Kawalan Pergerakan dan Lockdown.

Perintah berkurung atau lockdown adalah perintah yang tidak membenarkan sesiapa pun melakukan sebarang aktiviti di luar kediaman #juststayathome, tiada langsung pergerakan di luar termasuklah untuk membeli makanan dan keperluan.

Berbeza dengan PKP yang dikuatkuasakan sekarang masih membenarkan rakyat keluar untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan lain.

Kerajaan cukup berhati-hati dalam isu lockdown dan perlu membuat pertimbangan dari segenap sudut. Jika lockdown diisytiharkan ia melibatkan pelbagai pihak di dalam dan di luar negara, bekalan makanan dan pelbagai persediaan awal yang harus dibuat.

Persoalannya, bersediakah kita jika kerajaan mengisytiharkan lockdown dan menghadapi kesan lockdown? Bukan sehari dua tapi lebih daripada 14 hari dan mungkin 30 hari sepertimana dilakukan oleh negara China, Itali, Sepanyol, Perancis, Jerman, Austria, Colombia, Amerika Syarikat, Filipina, Brunei, Arab Saudi, Qatar, Oman, Jordan dan Lubnan.

Lockdown dilaksanakan memandangkan penularan COVID-19 yang melanda negara mereka berada di tahap yang sangat tinggi dan semakin sukar untuk dikawal.

Mengisytiharkan lockdown tampak mudah, tetapi impaknya cukup besar kepada rakyat dan negara.

Kerajaan menyedari penularan Covid-19 sangat membimbangkan namun masih terkawal dan ketika ini kerajaan dan barisan hadapan negara ‘frontliner’ sedang berusaha sedaya mungkin mencegah penularan COVID-19 bagi mengelak daripada berlakunya lockdown.

Beberapa laman web telah mula menggunakan kata kunci ‘kesan lockdown’ yang mengajak netizen cuba menilai secara matang pro & con jika berlakunya lockdown.

BACA:

Kita cuba elakkan daripada berlakunya lockdown kerana ia memberi kesan langsung kepada sektor ekonomi, pendidikan, sosial, kekeluargaan dan kemasyarakatan. Apa kesan lockdown?

1. SEKTOR EKONOMI

• Industri Kecil dan Sederhana (IKS), penjaja, pengusaha restoran akan menanggung kerugian yang besar. Penutupan operasi dan pemberhentian pekerja akan berlaku, sekaligus meningkatkan kadar pengangguran.

• Projek perumahan dan pembangunan akan mengalami kelewatan untuk disiapkan sekaligus memberi kesan berantai kepada ekonomi negara.

• Bursa Malaysia dan nilai Ringgit Malaysia akan menjunam. Pelabur asing akan menarik atau menghentikan sementara pelaburan mereka.

• Harga barang keperluan akan meningkat dengan mendadak kerana peningkatan permintaan yang melebihi kebiasaan.

2. SEKTOR PENDIDIKAN

• Prestasi pelajar dalam peperiksaan utama (UPSR, PT3, SPM, STPM) akan terjejas. Bebanan dan tugasan guru akan bertambah bagi menghabiskan silibus yang tertinggal.

• Universiti Awam dan IPTS akan mengalami kerugian dalam bentuk pengurusan dan tadbir urus. Graduasi ditangguhkan dan akan menyebabkan peningkatan kadar pengangguran.

• Kajian-kajian penting sama ada kajian makmal ataupun kajian ilimiah akan terjejas dengan penutupan makmal-makmal kajian dan berpotensi merencatkan perkembangan kajian.

3. SEKTOR SOSIAL, KEKELUARGAAN DAN KEMASYARAKATAN

• Pendapatan penjaja, peniaga, pemandu teksi, pemandu e-hailing dan pekerjaan yang berstatus pendapatan harian akan terjejas. Bebanan kewangan menjadi antara faktor berlakunya perbalahan dan perpecahan dalam keluarga.

• Kesihatan mental terutamanya mereka yang aktif mendapatkan berita semasa melalui media sosial akan terganggu sehingga menjadikan mereka ‘overwhelmed’ yang menyebabkan mereka mengalami kerisauan melampau yang membawa kepada ‘anxiety’.

• Pekerja yang bekerja dari rumah berdepan dengan risiko ‘burn out’ kerana mood bekerja di rumah tidak kondusif untuk tugasan pejabat di samping perlu melakukan kerja rumah

• Orang ramai akan terdedah kepada gajet dan internet ‘screen time’. Kajian membuktikan ‘screen time’ yang berlebihan akan membuatkan individu menjadi gelisah, tertekan dan tidak tenang, sekaligus menjadi punca kepada kemurungan sekiranya tidak terkawal.

Dalam situasi sekarang mental dan fizikal rakyat perlu terarah kepada kesiapsiagaan bagi menghadapi segala kemungkinan yang di luar pancaturan dan pengetahuan kita.

Perlu atau tidak lockdown dikuatkuasakan kita serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan melakukan kajian dan perincian serta mengambil tindakan yang paling efektif mengawal penularan GOVID-19.

Jika kerajaan terpaksa mengisytiharkan lockdown, saya mencadangkan 12 langkah yang perlu dititikberatkan demi untuk menjaga kemaslahatan rakyat, langkah-langkah tersebut ialah:

1. Menggantung sementara operasi Bursa Malaysia dan juga menambat Ringgit kepada Dolar seperti yang dilakukan sewaktu krisis ekonomi 97/98. Langkah ini perlu bagi meminimakan impak yang perlu dihadapi oleh kerajaan

2. Pihak perbankan dan syarikat kewangan memberikan morotarium (penangguhan pinjaman) kepada kakitangan awam, swasta, peniaga IKS dan individu

3. BNM perlu mengarahkan semua syarikat insurans untuk menyemak semula “general exclusion -GE” terutama kepada berapa perkara penting antaranya memberikan pegecualian GE jika berlaku sebarang kecelakaan atau kemalangan di rumah, pemegang polisi dibenarkan menggunakan polisi insurans yang ada dalam tempoh lockdown

4. Syarikat-syarikat utiliti perlu memainkan peranan untuk mengurangkan beban rakyat. dengan memberikan bantuan seperti pemberian rebat, diskaun, ataupun caj minima sepanjang tempoh pelaksanaan lockdown

5. Penangguhan sementara potongan KWSP bagi bulan lockdown dilaksanakan. Rakyat akan mempunyai lebihan tunai di tangan bagi memastikan aliran tunai di pasaran kekal aktif

6. Menurunkan mata gred peperiksaan-peperiksaan utama bagi tahun 2020 ataupun mengurangkan darjah kesukaran bagi peperiksaan tersebut

7. Penangguhan semestar bagi pelajar IPTA dan IPTS perlu dilakukan

8. Golongan gelandangan di bandar-bandar besar perlu disediakan satu tempat perkumpulan. Mereka berisiko untuk terputus bekalan makanan

9. Sebelum lockdown dilaksanakan, kerajaan perlu menghentikan perkhidmatan pengangkutan awam secara berperingkat-peringkat

10. Menyediakan perkhidmatan kaunseling atau terapi emosi atas talian secara percuma bagi membantu orang ramai yang berdepan dengan masalah kesihatan mental

11. Agensi dan NGO dilibatkan secara aktif bagi kempen menjaga kesihatan mental

12. Mewajibkan setiap pasar raya, kedai runcit dan kedai barangan keperluan untuk melaksanakan pembelian terhad kepada barang-barang keperluan asas.

Dua perkara yang wajib kita lakukan sepanjang tempoh PKP bagi membantu kerajaan untuk memastikan objektif Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tercapai dengan:

• Duduk di rumah #stayathome dan mematuhi segala larangan dan nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak KKM dan PDRM dalam memastikan penularan wabak ini terkawal. Mereka yang berisiko dan mempunyai gejala-gejala COVID-19, dinasihatkan agar segera mendapatkan pemeriksaan di klinik-klinik berdekatan.

• Tidak menyebarkan dan menularkan berita dari sumber yang tidak pasti dan janganlah mencari populariti di media sosial dengan menimbulkan kegawatan kepada rakyat dengan pandangan dan teori-teori yang tidak sepatutnya.

John F. Kennedy pernah mengungkapkan “The Chinese use two brush strokes to write the word ‘crisis.’ One brush stroke stands for danger; the other for opportunity. In a crisis, be aware of the danger-but recognize the opportunity”. Kita gunakan peluang yang ada sepanjang tempoh PKP ini dengan melakukan perkara-perkara yang terhalang sebelum ini di rumah bersama keluarga dan insan yang tersayang #staycoolwithyourfamily.

DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI ADALAH PRESIDEN UMNO

ARTIKEL INI ADALAH PANDANGAN PERIBADI BELIAU DAN TIDAK MENCERMINKAN PENDIRIAN SUARA MERDEKA.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button