![](/wp-content/uploads/2025/01/28dad073-d9a6-41a4-b7bf-4b35780717e3.jpeg)
Kerukunan hubungan rakyat Malaysia-Indonesia harus dipelihara – Raja Muda Perlis
JAKARTA, Indonesia – Sebagai sebuah negara serumpun, yang punya sejarah, bahasa dan budaya yang sangat dekat, rakyat Malaysia yang datang ke Indonesia harus memanfaatkan ruang keakraban ini untuk lebih memahami budaya setempat atau memiliki kearifan lokal agar kebersamaan yang ada dapat kita kekalkan dan diperkuat dengan keharmonian berpanjangan. Apa yang penting, segala urusan dapat dilakukan dengan mengikuti peraturan dan persyaratan yang ditetapkan.
Hubungan istimewa yang sekian lama terjalin sama ada dalam bidang keagamaan, pendidikan, perdagangan bahkan kekeluargaan haruslah menjadi kayu ukur untuk Malaysia dan Indonesia sentiasa rukun dan toleran dalam menghargai perbezaan dan mensyukuri kekuatan yang ada.
Dalam bidang agama, kita boleh berkerjasama mempromosikan pendekatan Islam moderat sebagai wadah penyatuan umat Islam kepada dunia luar dengan semangat serantau sebagai aur kekuatan. Inshaa Allah, pendekatan ini mampu mewajah Islam yang humanis dan indah.
Demikian dipersembah maklumkan oleh Atase Agama Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Ustaz Mohd Shamsuri Ghazali menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena persinggahan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diJakarta dalam penerbangan pulang ke tanahair dari Palembang, Indonesia.
Turut berangkat sama adalah anakanda Baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Untuk rekod, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) telah mengemukakan tawaran pelantikan kepada Ustaz Mohd Shamsuri sebagai Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam Negeri Perlis di Indonesia.
Tawaran pelantikan berkenaan adalah selaras dengan Subseksyen 28 (3) berkaitan Pelantikan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2006.
Foto : Ihsan MAIPs.