Kerjasama MPK, JPN Perlis mampu manfaatkan kelebihan
MENTERI Besar, Mohd Shukri Ramli memuji inisiatif Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dalam merintis kerjasama strategik yang lebih erat dengan memanfaatkan kelebihan yang dimiliki masing-masing.
Beliau berkata, ia sebagai usaha ke arah mencapai matlamat dan objektif serta peranan masing-masing dengan lebih berkesan terutamanya dalam aspek pembudayaan persekitaran yang bersih, sihat dan ceria.
“Ibarat kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya” maka semangat cintakan kebersihan dan alam sekitar dapat dibudayakan di kalangan generasi muda di peringkat kanak-kanak dan remaja lagi, sudah tentu apabila mereka dewasa kelak amalan tersebut akan terus disuburkan dan seterusnya dipupuk dalam kalangan keluarga masing-masing apabila mereka berumah tangga dan berkeluarga kelak,” kata Mohd Shukri.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Semarak Komuniti MPK di Dataran Datuk Sheikh Ahmad hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua MPK, Norazlan Yahaya dan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman.
Pada majlis ini juga Norazlan mewakili MPK dan Naharudeen dari JPN Perlis bertukar dokumen kolaborasi strategik ini.
Mohd Shukri berkata, sesungguhnya tidak ada ikhtiar yang lebih baik dalam menangani isu-isu berkaitan kebersihan dan kesihatan selain daripada memastikan kesedaran terhadap kepentingan kebersihan diri dan persekitaran itu dapat dipupuk dan dibudayakan di peringkat awal lagi.
Beliau amat mengharapkan kerjasama strategik yang lebih erat di antara kedua-dua agensi ini akan dapat membuahkan hasil yang diharapkan. – SM