CADANGAN pemberian cuti khas sebelum hari pengundian bagi memudahkan pergerakan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dipertimbangkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bercakap pada sidang media selepas program Kenduri Rakyat di Kampung Bohor Baharu, Kuala Bera, di sini hari ini, Ismail Sabri berkata, cadangan itu pernah dibincangkan selepas pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.
“Kita tunggu sahaja jika ada pengumuman daripada saya (cuti khas)… kita akan kaji. Sejak mula bubar, kita dah bincang perkara ini, cuma ‘timing’ itu… Insya-Allah, tunggulah apa pengumuman yang penting, yang mungkin banyak lagi,” katanya.
Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan mengisytiharkan 18 November sebagai cuti umum khas untuk memudahkan pergerakan rakyat Malaysia ke lokasi mengundi pada 19 November ini.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, dilaporkan berkata walaupun tarikh mengundi jatuh pada Sabtu, cuti umum tambahan sehari lebih awal itu wajar diberikan memandangkan ramai rakyat Malaysia tidak mengundi di lokasi mereka bekerja. – BERNAMA