RAJA PERLIS, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, kerajaan negeri harus membuat analisa kritikal dan keputusan berani dalam membuat dasar-dasar baru yang baik, penyediaan dan pengagihan perbelanjaan.
Baginda bertitah, seharusnya bentuk dasar, program dan projek yang sudah tidak relevan dengan dinamik semasa perlu diubahsuai atau diganti segera agar memberi faedah maksima kepada rakyat.
Baginda bertitah demikian pada perasmian Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri yang Ke-14 dari 9 hingga 11 Ogos di sini hari ini.
Berkenan hadir Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, kerajaan negeri juga tidak boleh berpuas hati dan selesa dengan pencapaian sedia ada.
Titah Baginda, usaha berterusan perlu dilakukan untuk mewujudkan dan menambahbaik lagi prasarana awam agar Perlis lebih menarik kepada pelabur.
“Malah peraturan, proses, sistem, prosedur dan panduan kerja yang usang, terlalu birokratik dan menyulitkan perlu ditambahbaik secara berterusan atau diganti jika sudah tidak relevan,” titah Baginda.
Selain itu titah Baginda, kerajaan negeri juga perlu terus berkreatif dalam mempelbagaikan sumber pendapatan negeri.
Baginda bertitah, salah satu sumber hasil yang berpotensi besar ialah perlombongan dan pengkuarian.
“Mineral dolomite di Perlis amat berkualiti dan menjadi tarikan pelabur,” titah Baginda.
Titah Baginda, kerajaan negeri juga wajar meneruskan usaha menambah baik prasarana sokongan dan program promosi pelancongan yang kreatif dan menarik.
“Ini termasuklah menggunakan portal, laman web serta media sosial, jalinan hubungan kerjasama dengan Key Opinion Leader (KOL) dan ‘social media influencer’ untuk menarik minat pelancong ke Perlis,” titah Baginda.
Selain itu titah Baginda, kerjasama rentas sempadan negeri dan negara juga penting di kalangan syarikat dan individu swasta untuk menganjurkan pakej-pakej pelancongan yang menarik. – SM
Artikel berkaitan > Raja Perlis: Islam ajar berkasih sayang, ikat persaudaraan berlandas akidah