Nasional

Kerajaan kaji apung harga telor – Mohamad Sabu

MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu memaklumkan, Kerajaan sedang mengkaji keperluan mengapungkan harga telur termasuk memberikan subsidi kepada golongan B40.

Beliau berkata, perbincangan mengenai perkara berkenaan masih sedang berjalan bersama tiga kementerian lain iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup.

“Ada cadangan supaya harga telur diapungkan dan subsidi diberikan kepada B40 dan kita sedang buat kajian adakah ia baik kepada golongan B40.

“Ini kerana bagi orang yang mampu, mereka tak kisah harga telur berapa pun dan orang Malaysia antara paling tinggi makan ayam dan telur,” katanya pada Majlis Amanat Sempena Tahun Baharu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

Sebelum ini, memetik laporan Beritan Harian, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Ameer Ali Mydin berkata, kerajaan perlu menghapuskan pemberian subsidi khususnya membabitkan minyak masak serta telur dan menggantikannya dengan subsidi bersasar menerusi pemberian tunai bulanan untuk golongan B40.

Ameer berkata, langkah ini dapat menjamin situasi “menang-menang” (win-win situation) bagi semua pihak dan mengurangkan bebanan kerajaan menanggung subsidi.

Mengulas mengenai kekurangan telur, Mohamad  Sabu menjangkakan masalah itu dapat diselesaikan dalam masa beberapa bulan melalui beberapa tindakan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Kita sedang berbincang dengan penternak-penternak telur macam mana nak susun semula hal subsidi sama ada nak diteruskan atau diubah cara supaya kita dapat membanyakkan telur dalam pasaran.

“Kini bekalan ayam dah agak stabil, telur pun akan stabil tidak lama lagi. Sekarang bekalan telur kita tampung sedikit dengan import. Kita harap ia akan baik dalam masa sebulan dua ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, pengimportan telur dari India akan dihentikan sebaik sahaja pengeluaran dalam negara mencukupi.

Menjelaskan mengapa negara mengimport telur, beliau menjelaskan India merupakan negara yang sedia membekalkan kuantiti telur diperlukan dengan mematuhi prosedur tersedia.

“Ketika itu India membekalkan telur untuk Kejohanan Piala Dunia dan memang boleh cepat dipermudahkan cara,” katanya.

Pada awal Januari tahun ini, Mohamad berlepas ke Namakkal, Tamil Nadu, India bagi melihat sendiri proses pengeluaran telur ayam untuk dieksport ke Malaysia.

Lawatan itu juga bagi memastikan telur diimport untuk rakyat Malaysia adalah bersih, selamat dan lebih murah dari telur tempatan.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong turut mencadangkan kepada Mohamad supaya menetapkan harga kawalan kepada 50 sen sebiji sama seperti harga telur yang diimport dari India. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button