
Kerajaan jangan sembunyi tangan, CIDB perlu jawab
SHAH ALAM 3 April – Dewan Pemuda PAS Selangor mengecam keras sikap tidak bertanggungjawab Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang dilihat cuba berdolak-dalik dalam insiden kebocoran paip gas di Putra Heights.
Ketuanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, insiden yang nyaris meragut nyawa rakyat dan mencetuskan kebimbangan awam itu bukan sekadar kecuaian teknikal, tetapi petanda jelas kecuaian sistemik melibatkan kelemahan penguatkuasaan dan ketirisan maklumat oleh pihak berkuasa.
“Kenyataan awal menafikan kewujudan sebarang aktiviti pembinaan, namun kemudian ditarik balik selepas bukti rakaman dashcam dari penduduk tempatan membongkar pembohongan itu.
“Ini amat memalukan dan mengundang persoalan besar, siapa yang sedang dilindungi? Kerajaan perlu berhenti berselindung di sebalik kenyataan politik yang kabur.
“Rakyat tidak bodoh. Sikap ‘cover line’ yang ditunjukkan hanya mengundang kemarahan dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan dan integriti kerajaan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pihaknya juga menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan menuding jari kepada PETRONAS secara sembrono.
“PETRONAS bukan kambing hitam untuk menutup kegagalan pihak lain. Jika benar PETRONAS cuai, buktikan secara profesional.
“Tetapi jika ini hanya helah untuk mengalihkan perhatian dari kecuaian kontraktor atau agensi penguatkuasa tempatan, maka kita tidak boleh berdiam diri,” ujarnya.
Justeru, beliau menuntut penjelasan segera dan terbuka daripada pihak kerajaan dan CIDB, siasatan bebas dan telus tanpa campur tangan politik serta tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang lalai, tanpa kompromi.
“Keselamatan rakyat bukan bahan eksperimen atau bahan tawar-menawar politik. Dewan Pemuda PAS Selangor akan terus memantau isu ini.
“Dan tidak teragak-agak untuk menggerakkan mobilisasi anak muda jika kerajaan terus bermain wayang dan gagal bersikap jujur. Rakyat berhak tahu. Kebenaran mesti ditegakkan,” katanya.