Kerajaan diminta sedia dana ‘one-off’ RM15 bilion untuk atasi banjir
KERAJAAN dicadang menyediakan dana secara one off sebanyak RM15 bilion bagi menangani masalah banjir di seluruh negara secara menyeluruh.
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, belanjawan tahunan atau belanjawan RMK mungkin tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu ini sepenuhnya.
“Sebagai contoh, Belanda terpaksa membuat pinjaman dengan negara Eropah untuk menangani isu banjir.
“Saya berpendapat satu dana besar diperlukan untuk tujuan ini, seperti yang pernah kita usulkan dahulu. Ini mungkin penyelesaian total kepada masalah banjir negara,” katanya ketika mencelah pada sesi penggulungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah berkata, kerajaan kini sedang mempertimbangkan kerjasama awam-swasta sebagai salah satu kaedah untuk melaksanakan projek mitigasi banjir.
Menurutnya, pendekatan ini boleh membantu menangani kekangan kewangan kerajaan dalam menyediakan dana untuk projek-projek berkaitan.
“Sebahagian daripada dasar ini telah diputuskan oleh kabinet dan kerjasama antara sektor awam dan swasta dilihat sebagai salah satu cara untuk mengatasi masalah banjir secara berkesan.
“Dengan penglibatan sektor swasta, kita dapat memperluaskan usaha menangani masalah banjir tanpa sepenuhnya bergantung kepada dana kerajaan,” jelasnya.