Kerajaan diminta jelaskan adendum, akta berkait pengampunan bekas PM
AHLI Parlimen Kota Bharu (PN-Kota Bharu) Datuk Seri Takiyuddin Hassan meminta kerajaan menjelaskan mengenai isu adendum dalam proses pengampunan bekas Perdana Menteri yang kini menjadi perbincangan hangat di kalangan masyarakat.
Katanya, dalam perbahasan Parlimen pada 21 Oktober, merujuk kepada ucapan bajet oleh Perdana Menteri, di mana terdapat satu perenggan (Perenggan 255, Muka Surat 119 Hansard) yang didakwanya tidak dibacakan.
“Saya tidak pasti secara sengaja atau tidak sengaja (Perdana Menteri) telah tidak membacakan satu para yang berbunyi kerajaan akan menggubal akta baru bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat-syarat yang ditetapkan dan dipantau oleh pegawai penjara.
“Saya telah bertanya semasa perbahasan saya dalam dewan ini, apakah justifikasi ataupun konten, bentuk akta yang hendak dibuat ini, apa relevensinya,” katanya ketika mencelah pada sesi penggulungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Takiyuddin berkata, dikatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memasukkan satu adendum dalam proses pengampunan tersebut, yang melibatkan syarat tahanan alternatif di rumah.
“Saya juga ingin bertanya mengenai isu adendum yang melibatkan tidak lain bekas presiden Yang Berhormat menteri berkaitan satu efidivit yang dibuat di mahkamah oleh tidak lain presiden Yang Berhormat menteri sekarang ini yang mengatakan semasa proses pengampunan dibuat terhadap bekas perdana menteri iaitu bekas Ahli Parlimen Pekan dikatakan ada satu adendum dibuat oleh yang di-Pertuan Agong.
“Saya nak bertanya kepada Yang Berhormat menteri adakah adendum ini wujud,” soalnya.
Menurut Azalina, isu berkaitan pindaan kepada akta penjara atau penahanan di rumah bukan di bawah tanggungjawabnya.
“Saya minta maaf kepada Tan Sri di-Pertua dan Yang Berhormat Kota Bharu, kedua-duanya (soalan) boleh dijawab oleh Menteri Dalam Negeri.
“Saya tidak bertanggungjawab kepada isu tentang pindaan kepada akta penjara ataupun wujud tahanan baharu di rumah dan berkenaan dengan SOSMA juga saya tidak bertanggungjawab,” katanya.