Ekonomi

Kepuasan pelanggan TH capai 92 peratus

ARAU 6 Sept. – Tabung Haji (TH) telah mencapai 92 peratus bagi Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) bagi pengurusan haji pada tahun 2024 dan ianya merupakan peningkatan serta pencapaian yang membanggakan berbanding pada tahun sebelumnya.

Meskipun menghadapi beberapa kekangan dan cabaran, namun atas tindakan pantas dan kecekapan TH ia dapat ditangani dengan baik dan tidak menjejaskan perjalanan haji jemaah Malaysia.

Institusi ini telah mengambil langkah drastik dan proaktif dalam menambah baik dengan melaksanakan penambahbaikan perkhidmatan secara menyeluruh terutamanya perancangan pengurusan jemaah dan operasi yang merangkumi aspek keselamatan, kesihatan, penyediaan makan dan minum serta paling utama sekali, tidak ada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku pada musim Haji tahun ini.

TH juga tidak terlepas dari menghadapi pelbagai cabaran dalam pengurusan para jemaah. Namun atas pendekatan dan tindakan serta kecekapan TH, ianya dapat ditangani dengan baik dan semuanya berjalan dengan lancar.

Demikian dipersembah maklumkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman dalam majlis sembah mengadap ke atas Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berlangsung di Galeri DiRaja Arau.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut hadir sama adalah Pengarah Tabung Haji Wilayah Utara, Datuk Mohammad Mokhzani Mokhtar dan Pengarah Tabung Haji Perlis, Burhan Abd Rahman.

Sesi mengadap ini juga merupakan wadah bagi membincangkan kerjasama di antara pihak TH dan MAIPs bagi jangka masa panjang dan pelaksanaan beberapa program dalam masa terdekat.

Delegasi daripada Tabung Haji itu tidak melepaskan peluang untuk mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam aktiviti kayuhan amal MAIPs Peduli yang dianjurkan oleh MAIPs di sekitar Pekan Pauh, Arau sejurus selepas majlis mengadap tersebut.

Pada musim Haji tahun ini Tuanku Pemangku Raja bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan waris Kedua Negeri Perlis. Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail telah juga berangkat mengerjakan ibadah haji.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button