Kementerian Komunikasi, Digital siasat dakwaan kebocoran data libatkan Maybank, Astro, SPR
KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) memandang serius dakwaan kebocoran data yang dibuat sebuah laman sesawang pada 25 Disember 2022 yang lalu.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, Kebocoran data ini didakwa melibatkan pihak Maybank, Astro dan SuruhanjayaPilihan Raya Malaysia (SPR).
KKD melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia (CSM) sedang mendapatkan maklum balas daripada Maybank dan Astro berhubung dakwaan kebocoran data bagi memastikan kesahihan pemilikan data.
“Pada masa yang sama, siasatan awal ke atas maklumat nombor akaun Maybank yang dipaparkan dalam laman sesawang berkenaan mendapati bahawa akaun-akaun berkenaan adalah tidak sah atau tidak wujud kerana transaksi tidak boleh dilakukan melalui nombor akaun tersebut.
“Siasatan awal juga mendapati terdapat potensi data yang didakwa bocor adalah merujuk kepada satu insiden kebocoran yang berlaku pada tahun 2018. Walau bagaimanapun, pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan
adalah diperlukan untuk tujuan siasatan terperinci di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].
“Manakala siasatan mengenai kebocoran data SPR dalam laman sesawang berkenaan akan diserahkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk tindakan selanjutnya memandangkan ia adalah di luar bidang kuasa Akta 709,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, notis sekatan juga telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan menghalang orang awam mengakses laman sesawang tersebut.
“Saya ingin mengingatkan semua Pengguna Data agar sentiasa memastikan tahap keselamatan siber berada pada paras yang baik dan sentiasa mematuhi prinsip dan standard perlindungan data peribadi selaras dengan Akta 709,” tegasnya. – SM