Kelab malam yang banyak buka peluang rezeki pada saya – Aina Abdul
KALAU sebut sahaja nama kelab malam, ramai yang akan memberi tanggapan negatif terhadap mereka yang bekerja di lokasi tersebut.
Namun, berbeza pula dengan penyanyi, Aina Abdul yang mengakui kelab malam sebagai tempat yang banyak membuka peluang untuknya dalam dunia seni.
“Memang sebelum ini saya menyanyi di kelab malam. Sejak berumur 23 tahun lagi saya dah mula menyanyi di sana.
“Malah, kelab malam juga yang membuka peluang untuk saya mula dikenali dan hingga masuk ke dalam industri,” katanya.
Menurut Aina lagi, dia tidak kisah jika ada yang menghinanya kerana bekerja sebagai penyanyi di kelab malam apatah lagi dengan imej berhijab.
Ujar penyanyi lagu Sumpah itu, apa yang dilakukannya adalah dengan niat untuk mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan.
“Saya pun tidak tahu nak buktikan dengan cara bagaimana. Tetapi saya mempunyai pendirian dan tahu apa yang saya lakukan serta menjaga diri.
“Tak kisahlah orang nak kata apa pun kerana yang penting saya tahu apa yang dilakukan,” katanya.
Aina berkata demikian selepas sesi pelancaran dan kolborasi antara dia produk penjagaan kulit Trunskin baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Trulooks, Dr. Adibah Abd Bari berkata, dia ada sebab tersendiri untuk memilih Aina sebagai wajah kempen mereka.
“Nama Aina semakin mengharum dalam industri hiburan. Selain itu, Aina yang mempunyai sikap rendah diri menyambut baik pelawaan kami untuk berkolaborasi serta telah mencuba dan serasi dengan produk Truskin,” kata Adibah. -SM