K.A.M.P.U.I capai pemahaman tujuh resolusi
PROGRAM bermotosikal K.A.M.P.U.I (Konvoi Anak Muda Prihatin Ummah dan Iman) di sekitar Perlis dilihat mampu mencapai matlamatnya.
K.A.M.P.U.I yang melibatkan 25 belia Islam ini anjuran Himpunan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Perlis (HIMPUNAN) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selaku penaung.
Konvoi ini singgah di tujuh lokasi “check point” sebagai simbolik sebagaimana isi kandungan tujuh resolusi dalam memorandum HIMPUNAN.
Pengerusi HIMPUNAN yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PMPs) Cawangan Perlis, Azemi Salim baru-baru ini telah menyerahkan Memorandum ini kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkaitan tiga kanak-kanak mualaf.
Keseluruhan inti pati resolusi ini sebagai asas pemikiran, tindakan dan seruan kepada seluruh masyarakat, dalam berdiri teguh bahu membahu bersama-sama MAIPs, dan bersolidariti dengan anak-anak bawah umur yang keIslaman mereka telah, sedang dan akan dicabar di mahkamah.
Pelepasan konvoi ini dilakukan oleh Azemi Salim di pekarangan MAIPs manakala upacara perasmian pula oleh Mohd Nazim Mohd Noor setelah program ini berakhir di Taman Desa Asnaf di Batu Bertangkup, Chuping.
Antara yang menyampaikan resolusi di setiap “check point” ini adalah Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mohd Nazim Mohd Noor, Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr. Hazman Hassan,
Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr. Mohamad Rozaimi Ramle dan Ahli Majlis Fatwa Perlis, Ustaz Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail.
Selain itu konvoi ini juga singgah memberikan sumbangan kepada mualaf iaitu Saroja Abdullah, 65 dan cucunya Mohd Joel, 30 di Pangsapuri Sena dan untuk seorang lagi asnaf mualaf di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis.
Salah seorang peserta, Abdul Aziz Mizan, 26, menganggap penyertaannya dalam program memberikan manfaat dalam dakwah Islam.
“Ia sangat relevan khususnya dalam menjalankan dakwah kepada golongan mualaf,” katanya.
Beliau berkata, sekaligus dia dapat memahami dengan jelas mengenai tujuh resolusi dari memorandum berkenaan.
Manakala Mustaqim Othman, 24 juga berpuas hati apabila penyampaian resolusi disampaikan di setiap “check point”.
Beliau berkata, pemahaman ini penting supaya golongan muda sepertinya dapat meneruskan usaha pendakwahan.
Mustaqim juga mengaku sekalipun konvoi ini cuma sehari tetapi ia mampu menjalinkan hubungan ukhwah di kalangan peserta. – SM