Nasional
JWP laksana pelbagai agenda sempena Kepengerusian ASEAN
Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan melaksana pelbagai agenda bersempena peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, agenda berkenaan yang turut merangkumi perancangan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 akan dilaksana dengan kerjasama agensi berkaitan.
“Kita akan memperincikan apakah agenda berkenaan. Nanti akan ada pertemuan dengan pimpinan tertinggi Wilayah Persekutuan dan agensi di bawahnya untuk melihat keutamaan yang akan diberikan untuk tahun 2025,” katanya dipetik.
Menyentuh mengenai keutamaan kementeriannya pada tahun ini beliau menjelaskan, pihaknya mengetengahkan agenda C.H.A.S.E City dengan melihat kepada keterangkuman daripada semua dasar yang telah dilaksanakan sebelum ini.
C.H.A.S.E City merupakan visi Dr Zaliha dalam menjadikan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan sebagai CHASE iaitu Clean City (bandar bersih), Healthy City (bandar sihat), Advanced City (bandar maju), Safe City (bandar selamat) dan Eco Friendly City (bandar mesra alam).