Ekonomi

Jualan Fingo melonjak 200 peratus dalam tempoh PKP

OPERATOR pasaran e-dagang sosial, Fingo Group Limited melalui anak syarikatnya (Fingo Malaysia Sdn.Bhd.), operator pasaran e-dagang sosial mencatat pencapaian luar biasa apabila pembelian secara online melonjak antara 150 peratus hingga 200 peratus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jack Yi berkata, kejayaan itu membuktikan Fingo kini semakin popular dan menjadi tumpuan masyarakat untuk membeli belah secara atas talian tanpa perlu keluar rumah.

Menurut beliau, antara tarikan utama Fingo ialah pengguna dapat berjimat menerusi sistem unik dengan manfaat memperoleh pulangan tunai dan barang dijamin berpatutan serta 100 peratus pulangan wang jika barangan rosak disebabkan oleh pengilang atau semasa penghantaran.

“Kami percaya bahawa Fingo kini bukan sahaja contoh model e-dagang sosial yang unik namun pada masa sama memberikan pengalaman membeli-belah secara online yang lebih menyeronokkan sebagai gaya hidup baharu masyarakat.

“Malah ketika krisis global ini, Fingo turut berjuang dengan rakyat Malaysia dengan memastikan kestabilan perkhidmatan membeli-belah secara online bagi memastikan pengguna boleh mengakses keperluan harian melalui aplikasi dengan selesa.

“Kami turut melancarkan perkhidmatan topeng percuma dan bahan anti-virus untuk agensi-agensi kerajaan kerana produk ini sukar dibeli di pasar raya,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Fingo kini aktif menjalankan aktiviti sumbangan kepada Hospital Sungai Buloh  dan Hospital Serdang dengan kerjasama Pasukan Sukarelawan Penyelamat Kecemasan Dan Perubatan Bakti Malaysia.

Mereka menyerahkan bantuan sejumlah 30,000 topeng, 20,000 cecair pembasmi kuman dan 1,500 kotak tisu muka.

Selain itu, Jack Yi berkata, Fingo kini berada pada landasan yang tepat apabila mencatat keahlian lebih daripada lima juta pengguna hanya selepas 12 bulan beroperasi di pasaran.

Jelas beliau, daripada jumlah itu seramai 500,000 pengguna adalah Preferred Shopper (pembeli pilihan) iaitu pengguna yang aktif.

Katanya, Fingo turut memperkenalkan dasar yang lebih istimewa untuk membantu golongan muda untuk menerokai bidang keusahawanan secara online.

“Kami sangat gembira dapat membantu orang ramai yang berdepan kesukaran dengan menyediakan platform keusahawanan atas talian yang lebih mudah,”ujarnya.

Jelas Jack Yi, pihaknya kini yakin kesedaran masyarakat terutamanya di rantau ASEAN termasuk Malaysia semakin tinggi dan menjadikannya tabiat berbelanja secara online sebagai gaya hidup baharu mereka.

Tambah beliau, e-dagang adalah salah satu industri yang paling pesat berkembang di Malaysia dan pasarannya dianggarkan mencapai RM9.8 bilion menjelang 2022.

Katanya, Fingo berharap dapat memberikan sumbangan terhadap pembangunan pasaran ini dan membantu mempromosikan Peta Jalan Strategik E-Dagang Nasional Malaysia (NESR).

“Pada masa sama, matlamat utama Fingo kini semakin menjadi kenyataan untuk memastikan produk-produk tempatan sentiasa menjadi pilihan utama dalam kalangan pengguna.

“Kerjasama yang baik dan inovasi teknologi sering menjadi pemangkin kepada perniagaan yang berjaya dan trend runcit sebab itulah kami memperkenalkan pemadanan e-perniagaan untuk meningkatkan sumber daya yang tersedia.

“Oleh sebab pertumbuhan pesat kami, kami telah mendorong rakan logistik tempatan untuk meningkatkan keupayaan mereka untuk memproses lebih banyak pesanan dan memendekkan masa penghantaran perkhidmatan penghantaran pengguna lebih baik,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button