DEMI pengajaran kepada semua pengguna jalan raya tanpa pilih bulu, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menegaskan, mereka sesekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pesalah yang melakukan pelanggaran undang-undang jalan raya.
Penguatkuasa akan terus mengeluarkan saman ke atas sesiapa saja yang didapati melakukan kesalahan jalan raya terutamanya pada musim perayaan ini.
Pengarahnya, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, pihaknya bertegas kerana ia melibatkan nyawa dan juga keselamatan orang lain.
Beliau berkata, jika tiada tindakan tegas diambil seolah-olah sengaja melepaskan orang yang telah melakukan kesalahan serta tidak menjadi pengajaran kepada orang lain.
“Kita sebenarnya mahu setiap pengguna jalan raya di negeri ini belajar mendidik diri sendiri dengan mematuhi peraturan di jalan raya,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Himpunan Setia Bulan Januari 2023 JPJ Jejawi, Arau, hari ini.
Hadir sama Pengarah Wilayah Utara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Mohamad Azrol Mohamad Dali.
Fatimah berkata, pihaknya setakat ini telah mengeluarkan 503 notis pelbagai kesalahan kepada pemilik kenderaan sempena Operasi Tahun Baru Cina (TBC) mulai 18 hingga 25 Januari.
Katanya lagi, Operasi TBC yang melibatkan 145 anggota penguatkuasa JPJ Perlis ini akan berakhir pada 27 Januari.
Sementara itu dalam ucapannya, Fatimah menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan tatacara pemanduan berhemah agar dapat mewujudkan suasana selamat di jalan raya.
“Marilah kita sama-sama berazam dan berusaha bagi mengurangkan kemalangan jalan raya dan menjadikan jalan raya kita lebih selamat untuk kita dan keluarga kita semua,” katanya.
Beliau juga turut memberikan sijil penghargaan kepada barisan Pengamal Media Negeri Perlis di atas kolaborasi bersama JPJ Negeri Perlis sepanjang tahun 2022 termasuk Suara Merdeka.
“Saya berharap agar kerjasama erat ini akan berterusan pada tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang,” katanya. – SM