Jokowi dan anak dipecat PDIP
SOLO: Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) hari ini secara umum dan rasmi memecat Joko Widodo (Jokowi), anaknya, Gibran Rakabuming Raka, dan menantunya, Bobby Nasution, serta 27 pengikut lainnya daripada parti berkenaan.
Media tempatan melaporkan, surat keputusan berhubung pemecatan itu dibacakan oleh Ketua Bidang Kehormatan Dewan Pimpinan Pusat PDIP, Komarudin Watubun. Dikeluarkan di Jakarta, surat itu bertarikh 14 Disember 2024, dan ditandatangani oleh Ketua Umum Megawati Soekarnoputri dan Setiausaha Agung Hasto Kristiyanto.
Memetik portal berita Detik.com, Komarudin memberitahu, beliau telah menerima arahan langsung daripada Ketua Umum PDIP untuk mengumumkan hal tersebut.
“DPP Parti akan mengumumkan surat keputusan pemecatan terhadap Joko Widodo, Gibran Rakabuming Raka, dan Bobby Nasution serta 27 anggota lain.
“Keputusan itu melarang mereka itu untuk tidak melakukan kegiatan dan menduduki sebarang jawatan atas nama PDIP,” ujarnya dipetik sebagai berkata.
Terdahulu, Jokowi yang ditemui media memberi respons berkaitan kemungkinan pemecatan dirinya dan keluarganya oleh PDIP.
Apabila dilontarkan tentang dirinya yang bakal tidak berada dalam sebarang parti politik, Jokowi secara ringkas menyebut soal ‘parti perorangan’.
CNN Indonesia antara lain menafsirkan bahawa hal yang dimaksudkan Jokowi itu adalah tentang hasrat peribadinya untuk terus berkecimpung dalam politik meskipun nanti tidak mewakili mana-mana parti.
Pada Rabu (4 Disember lalu) Hasto Kristiyanto yang ditemui pemberita di Jakarta Selatan pernah memberi kenyataan mengenai soal status keanggotaan Jokowi. Hasto menegaskan Jokowi sudah bukan lagi bagian dari PDIP.
“Jokowi dan keluarga sudah tidak lagi sejalan dengan cita-cita parti. PDIP melihat Jokowi dan keluarganya memiliki cita-cita kekuasaan yang tiada henti. Selain itu, amalan politik yang dijalankan Jokowi dan keluarganya harus menjadi pengajaran berharga kepada semua pihak untuk menjalankan disiplin parti,” kata Hasto memetik laporan Kompas.com.
Selepas dua kali menewaskan Prabowo dalam pemilihan presiden, Jokowi menyokong pesaing rasminya pada pilihan raya 2024, dengan anak sulungnya berjaya bertanding untuk menjadi naib presiden Prabowo. Dia juga mendapat pengaruh melalui pemilihan menantunya sebagai gabenor Sumatera Utara, manakala beberapa bekas menteri utamanya kini berada dalam kabinet Prabowo.
PDI-P, yang menyokong Jokowi dalam dua kempen presiden, mendakwa Jokowi campur tangan dalam keputusan Mahkamah Perlembagaan kontroversi yang membuka jalan kepada anak sulungnya bertanding jawatan naib presiden. Jokowi telah lama menafikan dakwaan ini.