Politik

Jika Bung Moktar jadi TKM, Zahid Hamidi boleh jadi TPM

RAMAI yang ingin bertanya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi hati agak kecil untuk melontarkan soalan yang berkaitan dengan pelantikan Timbalan Perdana Menteri yang dilihat, elok jika diberi jawatan tersebut kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Penelitian yang dilakukan sejak Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin membentuk Kerajaan Persekutuan, parti UMNO mempunyai jumlah Ahli Parlimen teramai dalam PN.

Dan kedudukan Zahid Hamidi sendiri sebagai ketua dalam parti, tidak boleh dinafikan beliau sebenarnya layak untuk mengisi jawatan ‘nombor dua’ dalam kerajaan.

Jawatan ‘nombor dua’ itu masih kosong sehingga ke hari ini dan alasan yang tidak melantik Zahid Hamidi adalah kerana kes perbicaraannya yang sedang berjalan di mahkamah.

BUNG MOKTAR RADIN

Rasa-rasanya alasan tidak melantik Zahid Hamidi sebagai ‘nombor dua’ sudah boleh ditolak tepi kerana kalau Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga sedang berhadapan dengan kes mahkamah, boleh dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah oleh Ketua Menterinya, Datuk Hajiji Noor, mengapa Abah Din tidak melantik Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Sekurang-kurangnya Zahid Hamidi yang orang gelar Wak Jahid ini, ada pengalaman dan mampu memberi buah fikiran yang bernas dalam mentadbir kerajaan.

Ada juga yang membuat perbandingan jawatan ‘nombor dua’ dalam Kerajaan Persekutuan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

MOHAMED AZMIN ALI

Dikatakan Azmin Ali yang ‘ke sana ke sini’ berlagak seolah-olah beliau pemegang ‘nombor dua’ dalam Kerajaan Persekutuan selepas Muhyiddin.

Melihatkan kepada situasi di atas, bukan sahaja lebih molek tetapi lebih munasabah jawatan ‘nombor dua’ diserahkan kepada Zahid Hamidi.

Dalam perkara ini, Muhyiddin mesti menunjukkan bahawa keikhlasannya dan tidak harus bertelagah lagi untuk memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu kepada Zahid Hamidi.

Zahid Hamidi bulan lagi sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri tetapi TPM dalam pentadbiran PN pimpinan Muhyiddin.

Lakukan ia segera sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana semalam, apabila sudah berbunyi di corong radio, akan dilakukan bancian penduduk, itu adalah petanda PRU semakin hampir dengan rakyat Malaysia.

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sudah alang-alang Timbalan Ketua Menteri Sabah pergi ke mahkamah untuk berdepan dengan kes rasuah, tentulah tiada bezanya jika Timbalan Perdana Menteri juga terpaksa turun naik tangga Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk bukan sahaja menyelesaikan kes perbicaraannya tetapi juga membersihkan namanya.

Seperkara lagi, mungkin ya mungkin tidak…Adakah pelantikan Bung Moktar itu sebagai isyarat kesnya akan digugurkan? Dan selepas itu, kes Zahid Hamidi pun akan digugurkan juga? Wallahhualam.

Kita lihat prinsip atau moto pentadbiran Muhyiddin iaitu mengutamakan kebersihan seseorang calon yang mahu dilantik mengisi jawatan dalam kerajaan sehinggalah perlu melepasi tapisan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jika ada yang tidak bersih di sisi SPRM dan PDRM, maka tidak boleh dilantik, tentulah individu itu didakwa di mahkamah.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button