
JEMiSys Technologies, Revolusi perisian pintar dalam industri barang kemas
JEMiSys Technologies Sdn Bhd, syarikat perintis dalam pembangunan perisian dan pengintegrasian sistem, telah mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia teknologi utama dalam industri barang kemas Malaysia. Sejak ditubuhkan pada tahun 2006, syarikat ini memainkan peranan penting dalam menawarkan solusi perisian komprehensif kepada jenama-jenama terkenal seperti Habib Jewels, Merchant99, Pandora, Poh Kong, De Gem dan lain-lain.
Menurut Pengarah JEMiSys Technologies, Ted Chow, pihaknya membangunkan sistem inovatif yang memenuhi keperluan pelbagai peringkat perniagaan dalam industri emas, termasuk peruncit, pemborong dan pengilang.
“Kami menggabungkan teknologi pembangunan perisian terkini bagi memastikan kecekapan operasi perniagaan, sejajar dengan perubahan trend industri yang semakin dinamik. Satu cabaran utama dalam industri barang kemas adalah risiko kehilangan dan ketidaktepatan rekod kerana masih ada yang bergantung kepada sistem manual, yang mudah terdedah kepada kesilapan manusia, penipuan serta kecurian,” jelasnya.
Perisian JEMiSys direka khas untuk mengatasi cabaran ini dengan menawarkan sistem inventori yang dapat mengesan pergerakan setiap item secara teliti. Misalnya, dalam proses pemotongan barang kemas untuk memenuhi permintaan pelanggan, lebihan emas akan direkod secara automatik dalam sistem bersama nombor item dan ID kakitangan yang menguruskan transaksi tersebut. Ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan operasi, malah memastikan setiap gram emas dapat dijejaki dengan mudah.
Selain itu, perisian ini turut dilengkapi dengan fungsi e-invois, membolehkan audit tahunan dijalankan dengan lebih efisien. Ted turut menekankan bahawa sistem JEMiSys menawarkan integrasi menyeluruh dengan platform e-dagang, perakaunan, dan pemantauan harga emas secara automatik, memberikan fleksibiliti kepada peniaga untuk menguruskan operasi mereka dari mana-mana sahaja.
“Kami juga menerapkan teknologi berasaskan awan (cloud-based) dalam sistem kami, membolehkan pemilik perniagaan mengakses dan memantau operasi secara real-time tanpa perlu berada di lokasi fizikal. Antaramuka yang mesra pengguna turut memastikan penggunaan sistem yang lancar walaupun bagi mereka yang kurang berpengalaman dalam teknologi,” tambahnya.
Dengan ketepatan sehingga 80% dalam pengurusan data serta keupayaan mengurangkan kos tenaga kerja, JEMiSys juga memanfaatkan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) untuk meningkatkan kecekapan pemantauan stok. RFID yang disepadukan dengan sistem JEMiSys POS & ERP membolehkan pemantauan pergerakan stok yang lebih sistematik, sekaligus mengurangkan risiko kehilangan barang kemas.
Dalam usaha menyesuaikan diri dengan keperluan pengguna Islam, JEMiSys kini dalam proses mendapatkan pensijilan patuh syariah bagi memastikan urusan jual beli emas sejajar dengan prinsip syariah, sekaligus menyumbang kepada kemajuan industri dengan lebih beretika dan bertanggungjawab.