
”Jangan berniaga ‘Touch & Go’, rezeki berkat datang dengan kejujuran”-Datin Ira Ghani
PELAKON dan usahawan berjaya, Datin Ira Ghani, menasihati usahawan baharu agar menjalankan perniagaan dengan amanah, integriti, dan kejujuran untuk memperoleh keberkatan dalam rezeki.
Beliau yang telah lebih 20 tahun dalam industri menerusi perniagaan Aura Seri, menekankan bahawa pemahaman terhadap perniagaan adalah kunci kejayaan—bukan sekadar mengikut trend semata-mata.
“Ramai orang memilih untuk berniaga kerana ia cara terbaik untuk menjana pendapatan. Namun, persoalannya, adakah mereka benar-benar memahami perniagaan yang diceburi atau sekadar mengikut trend?”
Menurut Datin Ira, mereka yang hanya mengikut arus tanpa pemahaman mendalam sering kecundang di pertengahan jalan kerana tidak benar-benar menjiwai atau mencintai bidang yang diceburi.
“Contohnya, kalau orang lain jual gincu dan jadi kaya, kita pun nak ikut. Tapi adakah kita betul-betul faham produk yang kita jual? Adakah kita tahu nilai dan manfaat yang ingin diberikan kepada pengguna?”
Sehubungan itu, beliau berpesan agar setiap usahawan baharu menanamkan niat yang betul dan menjalankan perniagaan dengan penuh tanggungjawab.
“Kita alu-alukan sesiapa sahaja yang mahu menceburi bidang keusahawanan, tetapi ingatlah, berniagalah dengan niat yang ikhlas, jujur, dan berintegriti.”
Datin Ira juga menegaskan bahawa berniaga bukan sekadar “Touch & Go”, sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab besar untuk memastikan generasi akan datang menikmati hasil rezeki yang halal dan berkat.
“Berniaga ini bukan main-main. Jangan buat sekejap kemudian lari. Ini adalah fardu kifayah. Jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri, tetapi juga untuk anak cucu kita nanti.” katanya ketika ditemui Suara Merdeka.
Dalam perkembagan lain, Datin Ira Ghani kini sedang membantu usahawan wanita dibawah naugan DIG.