Nasional

Jakel hampir saman kuil, selepas gagal berbincang selama 11 tahun

SYARIKAT Jakel Tradings Sdn Bhd (Jakel Trading) pernah memberi pertimbangan untuk mengambil jalan mahkamah bagi menyelesaikan pertikaian membabitkan tanah di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata rancangan mereka adalah untuk memfailkan saman terhadap jawatankuasa pengelola kuil Dewi Sri Pathrakaliamman kerana tempoh 11 tahun digunakan bagi mencari penyelesaian yang diharapkan.

Bagaimanapun, katanya, syarikat terbabit membatalkan rancangan mereka dan menerima nasihat diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

“Kami menunggu selama 11 tahun dan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap jiran kami (Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman) tetapi dihalang oleh Dr Zaliha yang berkata ini akan menjadi isu perkauman yang besar.

“Dia mencadangkan saya berjumpa terus dengan perdana menteri,” katanya semasa berucap di majlis pecah tanah Masjid Madani di Lot 328, Jalan Munshi Abdullah, hari ini.

Sebelum ini NGO Lawyers for Liberty mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjual tanah itu kepada Jakel tanpa pengetahuan pihak kuil berkenaan pada 2014.

Langkah itu dikatakan diambil kira-kira enam tahun selepas DBKL mengarahkan struktur asal kuil berkenaan dipindahkan ke tapak terbabit.

Bagaimanapun, Fairoz hari ini mendedahkan, perbincangan awal untuk membangunkan plot seluas 12,142 kaki persegi itu bermula seawal 2009 tetapi perjanjian penjualan akhir hanya ditandatangani pada 2014.

Selepas pembelian tanah itu, kata Fairoz, Jakel Trading terus mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk membina sebuah masjid – yang ditetapkan sebagai struktur empat tingkat dengan kapasiti maksimum 2,900 jemaah – dilengkapi kemudahan dengan lif, eskalator, taman dan kemudahan pembelajaran.

“Pada 17 Jun 2021, kelulusan pelan bangunan telah diperolehi daripada DBKL.

“Kelulusan ini juga telah diperbaharui beberapa kali sehingga hari ini,” katanya.

Feroz juga memuji Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang merasmikan majlis pecah tanah hari ini atas peranan kerajaan memudahkan perbincangan sehingga pemindahan kuil dapat dilaksanakan.

“Sebelas tahun kami bersabar, berunding, alhamdulillah, akhirnya you made it (anda berjaya). You are the man (andalah orangnya).

“Dan untuk itu, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga, bukan hanya kerana menyokong kami, tetapi kerana menyokong masyarakat Islam di kawasan ini.

“Dengan terbinanya masjid ini, Datuk Seri akan dikenang selama-lamanya. Tanpa Datuk Seri, kita tidak akan ada acara ini,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button