Insiden tembakan rambang di Auckland, dua maut, enam cedera: Tiada rakyat Malaysia
Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden tembakan rambang yang berlaku di Quay Street, Auckland, New Zealand, hari ini, kata Wisma Putra.
Dalam kenyataannya, ia memaklumkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden itu.
Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh menghubungi pihak suruhanjaya di talian +64-4-3852439 dan +64-210440188 (untuk kecemasan) atau melalui email [email protected].
“Sebarang perkembangan terkini mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata Wisma Putra.
Menurut laporan awal, seorang lelaki bersenjata senapang patah melepaskan tembakan secara rambang yang setakat ini meragut dua nyawa dan mencederakan enam yang lain.
Penembak rambang itu dilaporkan mati di tempat kejadian. – SM