Jenayah

Insiden buli di UPNM Pelajar cedera teruk, MINDEF serah siasatan kepada Polis

SATU lagi insiden buli melibatkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru-baru ini mencetuskan kebimbangan. Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengesahkan bahawa kes ini telah diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk disiasat.

Pelatih Tahun Satu Cedera Teruk Akibat Ditekup Oleh Senior

Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 21 Oktober lalu, melibatkan seorang pelatih tahun satu yang mengalami kecederaan serius. Mangsa dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang, dipercayai akibat dipijak oleh seorang pelatih senior.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mangsa yang berusia 19 tahun itu sedang berada di tepi padang kawad selepas sesi panggil nama apabila insiden tersebut berlaku. “Mangsa mengalami kecederaan parah akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Laporan polis mengenai kejadian ini diterima pada jam 8.40 malam pada Jumaat lalu di UPNM Kem Sungai Besi dan kini kes tersebut masih dalam siasatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, dan pihak polis meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.

MINDEF Tegaskan Kejadian Sebegini Tidak Diterima

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan mengutuk sebarang bentuk buli yang berlaku di UPNM. Dalam sebuah kenyataan di platform X, beliau menyatakan, “Kementerian Pertahanan berpendirian bahawa kejadian sebegini adalah tidak wajar dan merosakkan imej UPNM serta institusi pendidikan tinggi. Kami akan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak polis untuk memastikan siasatan dijalankan dengan adil dan telus.”

Kejadian ini menyusul beberapa minggu selepas seorang pelajar tahun empat di UPNM didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur kerana menekap seterika ke badan seorang pelatih tahun dua.

Artikle Berkaitan :>

Tragedi tekap seterika sekali lagi berulang di UPNM?

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button