
Insiden Abang Belon: Kehadiran Istana meredakan suasana
SELEPAS insiden ‘Abang Belon’ bergelut dengan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), banyak pihak menyatakan simpati dan bersedia membantu mangsa yang kini sedang dirawat di Hospital Serdang. Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, dikatakan mengalami patang tulang belakang.
Maka berbondong-bondong orang politik mahu turun tangan membantu. Namun, akhirnya ia menjadi satu perlumbaan ahli politik pembangkang dengan kerajaan.
Keprihatinan yang ditunjukkan memang disanjungi, tetapi ia terdapat unsur-unsur hasutan atau mendapat kelebihan politik. Tidak semua keadaan kehadiran orang politik dapat menyelesaikan masalah, bahkan jika tidak ditangani dengan baik ia akan memberi kesan yang buruk.
Oleh itu adalah wajar tindakan yang diambil oleh pihak Hospital Serdang mengehadkan lawatan orang ramai ke atas Abang Belon.
Dan lebih manis apabila kehadiran YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkesempatan meluangkan masa menziarahi peniaga belon yang terlibat.
BACA JUGA BERITA: Peniaga PBT harus bertanggungjawab atas peranan masing-masing ; Sultan Pahang
Simpati dengan keadaan yang menimpa pemuda dari Jerantut itu, YAM Tengku Arif Bendahara yang tiba pada pukul 12.30 tenghari turut bertanya keadaan kesihatan semasa dan menyampaikan kurniaan peribadi KDPB Sultan Pahang kepadanya.
Dalam situasi ini kehadiran pihak istana meredakan suasana dan orang politik harus faham bahawa mereka perlu berhenti menghasut rakyat kerana kejadian ini melibatkan sebuah PBT dan individu, serta tidak melibatkan kerajaan yang memerintah.
Selepas ini DBKL perlu mengambil langkah memperbetul Standard Prosedur (SOP) dalam mengambil tindakan sewajarnya, khususnya dalam menangani situasi getir.
Kisah pihak berkuasa tempatan menyusahkan peniaga, bukan perkara baharu. Semua pihak telah sedia maklum dan ini harus dilihat serta diberi perhatian oleh menteri berkenaan. Memang kita mahu membersihkan Kuala Lumpur dan bandar-bandar daripada peniaga tidak berlesen, tetapi ia memerlukan SOP serta kaedah yang lebih bijak.
Lesen atau tidak berlesen, mereka tetap juga manusia yang berusaha mencari sesuap nasi dan kesalahan mereka tidak sampai menyebabkan kegusaran awam.