Nasional

Ingkar PKP: Tarik semula lesen premis, tutup terus pusat hiburan-Ismail Sabri

Aktiviti luar, pelancongan dibuka semula

BERDEGIL atau tidak takut kepada arahan dan undang-undang menyebabkan pengendali pusat-pusat hiburan masih terus beroperasi walaupun arahan dikeluarkan agar ditutup dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Kluster Keselamtan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbarnya hari ini kecewa dengan sikap pengendali pusat-pusat hiburan yang masih ingkar arahan dan terus beroperasi dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jumlah tertinggi 292 tangkapan adalah di pusat-pusat hiburan. Jumlah tertinggi. Saya  mahu mengingatkan dan meminta Penguasa dan Pihak Berkuasa Tempatan agar bertegas dan tidak bertolak ansur.

“Tarik semula lesen premis terbabit dan hentikan operasi selama-lamanya jika masih berdegil,” tegas Ismail Sabri.

Beliau berkata, rakyat harus bertanggungjawab mengekang dan memutuskan rantaian Covid-19 dan arahan dan peraturan yang dikeluarkan mesti dipatuhi.

“Jika kita tidak mendapat kerjasama baik semua pihak, ini menyukarkan kerana kita akan terus hidup dengan pandemik ini selama-lamanya,” ujar beliau.

Menurut Ismail Sabri, pemantuan yang dilakukan oleh pihak task force semalam ialah 2,947 termasuk yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, dari segi pemakaian pelitup muka atau face mask, pemakaian adalah sekiranya berada di tempat awam.

“Ramai yang mempersoalkan tentang pemakaian pelitup muka. Kalau berada di tempat yang bersesak-sesak, pakailah.

“Elak kejadian seperti ini. Tempat awam, taman awam adalah tempat awam. Bila bersendirian, tidak perlu pakai pelitup muka. Di tempat awam yang bersesak seperti pasar, dalam bas dan LRT yang bersesak, perlu pakai dan wajib pakai.

“Kalau bersendirian ataupun ada penjarakan sosial seperti di restoran, tidak boleh nak pakai pelitup muka waktu makan, tidak perlu pakai.

“Bila adanya penjarakan antara satu sama lain, dibenarkan tidak pakai pelitup muka. Tak wajib pun atau perlu pakai ketika di restoran.

“Dalam keadaan tertentu,  tidak boleh diambil tindakan kerana tidak memakai pelitup muka kerana ia tidak bersesak,” terang Ismail Sabri panjang lebar sebentar tadi.

Tambah beliau, “Kadang-kadang perkara ini jadi kekeliruan. Diambil tindakan pun jumlah tidak banyak.

“Ada yang ditahan di hadapan rumah. Tak ada orang, itupun kerana keluar tak pakai pelitup muka. Ada keadaan tertentu.”

Berhubung Ops Benteng yang dilakukan setiap hari oleh agensi dan pihak berkuasa beruniform, Ismail Sabri berkata, semalam, 14 PATI yang membolosi negara kita ditahan di sempadan negara kita.

Katanya, sebanyak 64 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilakukan dalam Ops Benteng.

PDRM dalam SJR Ops Benteng, kata Ismail Sabri telah melakukan 62 SJR manakala AKSEM, melakukan 9 SJR.

Pada sidang akhbar yang sama, Ismail Sabri memaklumkan, dalam majlis mesyuarat bersama MKN dan MOTEC, telah bersetuju untuk membuka beberapa aktiviti pelancongan dan aktiviti luar atau outdoor seperti dibuka semula Zoo Negara, Legoland dan lain-lain.

“Kita meminta MOTEC membentangkan SOP yang lebih detail dan jelas selepas perbincangan dengan KKM dan MKN.

“Pada dasarnya kita telah meluluskan. Tarikh kuat kuasa telah ditetapkan. Tunggu pembentangan dan SOP,” katanya.

Kementerian Belia dan Sukan juga membentangkan cadangan membuka aktiviti sukan dan outdoor.

“KBS diminta bentang SOP secara terperinci. Jawatankuasa teknikal akan bermesyuarat Khamis ini untuk bangunkan SOP yang lebih jelas.

“Banyak perkara dimohon mereka seperti pertandingan bolasepak yang tertangguh selama ini. Banyak juga yang akan dilaksanakan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, virus Covid-19 ini akan terus berada di sekeliling kita dan kita perlu terima hakikat hidup dengan virus Covid-19.

“Sebab itulah kerajaan melonggarkan sedikit demi sedikit peraturan dan arahan kerana kita tahu apabila diadakan sekatan terlampau ketat, ekonomi rakyat tergugat.

“Pekerja, syarikat terpaksa ditutup. Rakyat yang bergantung hidup kepada gaji harian terjejas. Kita tahu bukan semua ada Covid positif di kalangan rakyat.

“Kesannya terus terjejas. Sektor ekonomi tidak dibuka, pergerakan dihadkan, pusat pelancongan tidak boleh buka, ramai pekerja hotel dibuang kerja.

“Akhirnya memburukkan keadaan. Mereka yang kekal negatif, disebabkan tindakan tegas kita, mereka juga jadi mangsa keadaan. Jadi, kita mula longgarkan .

“Tanggungjawab penyakit ini tidak merebak jika kita sendiri mengawal dan mendisiplinkan diri supaya tidak dijangkiti dan menjangkiti rakyat. Kawalan kendiri perlu oleh individu,” tegas Ismail Sabri.

Beliau turut meminta semua pemimpin  masyarakat, penghulu, ketua kampung, Iman, Pengerusi taman dan semua pemimpin komuniti agar menyedarkan ahli-ahli dan menjaga diri serta memathui setiap SOP yang dikeluarkan.

“Semua mainkan peranan, walaupun  kita mula longgarkan sop yang dikenalkan dulu,” katanya.  – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button