Nasional

Industri kayu rayu benarkan beroperasi dalam PKP

INDUSTRI kayu merayu kerajaan membenarkan mereka beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh kerana ia menyebabkan berlaku kerugian lebih RM3 bilion sepanjang Jun.

Syarikat berkaitan industri itu tidak dibenarkan beroperasi sejak 1 Jun lalu di bawah prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kecuali kilang yang mengeluarkan perabot untuk hospital dan berkaitan perubatan.

Bagaimanapun, syarikat perabot yang mengeluarkan produk untuk tujuan eksport dibenarkan meneruskan semula operasi di beberapa negeri yang beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Presiden Persatuan Perkayuan Malaysia (MTA) Goh Chee Yew berkata, fasa kedua yang berkuatkuasa di beberapa negeri dan di industri kayu terpilih, industri itu tidak benar-benar mengalami masalah.

Namun katanya, dengan sekatan dilaksanakan ketika ini, sembilan ahlinya yang mewakili majoriti sektor perkayuan dan produk kayu masih mengalami kerugian iaitu sebanyak RM67 juta setiap hari pada bulan lalu.

Goh berkata, secara amnya industri itu mematuhi SOP ketat yang dikenakan ketika dibenarkan beroperasi tahun lalu.

Katanya, malang sekali apabila industri diletakkan di bawah senarai negatif menyeluruh sejak 1 Jun kerana permintaan daripada pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menunjukkan peningkatan yang didorong oleh pertumbuhan ekonomi di negara terbabit.

“Permintaan tinggi terhadap produk kayu Malaysia biasanya disebabkan kehadiran musim panas antara Jun hingga Ogos.

“Musim panas adalah salah satu tempoh terbaik untuk pengeksport kami mendapatkan jualan tinggi untuk tahun itu. Jika kita terlepas, pengeksport akan menderita dua kali ganda kerana perolehan berkurangan,” katanya.

Goh menambah susulan pelaksanaan sekatan, kebanyakan tempahan dihantar ke Indonesia dan beberapa negara jiran, memandangkan tiada larangan terhadap industri kayu di sana.

Persatuan itu mewakili sembilan kumpulan pedagang kayu utama negara dan pernah menghantar surat rayuan kepada perdana menteri bulan lalu.

Eksport produk berasaskan kayu menunjukkan peningkatan dalam tempoh suku pertama tahun ini pada paras 9.9% kepada RM6 bilion, lapor Majlis Kayu-Kayan Malaysia.

Negara mengeksport kayu dan produk berkaitannya bernilai RM22 bilion sepanjang tahun lalu. Pasaran terbesar adalah di AS, apabila 60% produk perabot dihantar ke sana. Sebahagian besarnya diambil Walmart dan beberapa pengedar, lapor Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia pada Mac.

Goh berkata permintaan keranda dan peti mayat, yang semakin meningkat, tidak dapat dipenuhi disebabkan sekatan yang dikenakan.

Katanya, secara idealnya, kerajaan harus membenarkan sekurang-kurangnya 60% hingga 80% kepada tenaga kerja untuk beroperasi, dengan syarat setiap pekerja diberi dos pertama vaksin Covid-19.

Beliau berkata, Majlis Kayu-Kayan Malaysia juga sudah menggerakkan usaha ke arah melaksanakan program vaksinasi berskala besar yang bermula bulan ini. – FMT – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button