Politik

Indonesia tidak guna alasan Covid-19 untuk terus kukuhkan ekonomi

INDONESIA diketahui umum terus berusaha memajukan ekonomi mereka dengan menerima pelbagai pelaburan asing (FDI) masuk ke negaranya.

Walaupun di peringkat ASEAN negara itu mencatatkan jumlah jangkitan pandemik Koronavirus (Covid-19) tertinggi berbanding negara lain.

Namun, itu tidak menjadi alasan kepada negara itu berikutan struktur politik, pentadbiran dan pertumbuhan ekonomi negara itu meyakinkan pelabur-pelabur asing.

Malah, negara itu juga dijangka suatu hari nanti dapat mencipta peluang pekerjaan lebih besar berbanding Malaysia.

“Semakin lama Malaysia semakin ketinggalan. Kali ini, kepada negara-negara jiran kita seperti Indonesia.

“Tidak lama lagi ada kemungkinan besar rakyat Indonesia tidak lagi menjadi sumber tenaga kerja kepada sektor-sektor kita.

“Rakyat kita mungkin yang akan berpusu-pusu bekerja di sana, lantas membawa kepada isu alirankeluar kemahiran dan kepakaran kita (brain drain).

“Masa itu, syarikat besar Indonesia pula yang akan kita menjemput dan bawa masuk ke Malaysia. Itu pun jika mereka berminat melabur di Malaysia.”

Demikian kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu hantaran Facebook hari ini yang bimbang dengan keadaan ekonomi Malaysia.

Katanya, Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebabkan ekonomi berterusan merudum sedangkan keyakinan pelabur asing terhadap Indonesia amat tinggi.

“Sementara itu, apa yang kita buat? Malaysia duduk dan tunggu. Sambil bersorak sesama sendiri.

“Terus terang saya amat susah hati dan bimbang apabila baca berita-berita ini,” luahnya.

Tambah bekas Menteri Kewangan itu, Malaysia dahulu pernah menjadi destinasi pertama bagi pelabur asing di rantau Asia Tenggara dan hal itu menyebabkan ekonomi berkembang dan stabil.

Namun, keadaan berubah selepas Barisan Nasional (BN) tidak lagi memerintah, malah beberapa kementerian dan agensi seperti tidak berfungsi untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara.

“2018, 2019, 2020 telah berlalu. Sekarang dah 2021. PH (Pakatan Harapan) sudah, PN (Perikatan Nasional) pula kini. Tanya pada diri kita. Apa yang telah kita capai dalam tiga tahun lebih ini? Ke mana hala tuju kita pada hari ini?

“Kita ada berpuluh-puluh agensi yang berkaitan pelaburan. MIDA ada, MaGIC ada, InvestKL ada, MDEC ada, dan banyak lagi.

“Kita ada Majlis Tindakan Ekonomi Negara. Saya tahu sebab masa saya, setiap Isnin saya bermesyuarat bersama pemimpin-pemimpin kerajaan, ketua-ketua agensi pelaburan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan sebagainya bagi tujuan ekonomi dan pelaburan kita.

“Kita ada pemimpin-pemimpin yang jaga pelaburan asing, pelaburan tempatan dan juga pembangunanekonomi Malaysia. Tengoklah senarai Kementerian.

“Tidakkah kita berasa risau dengan keadaan yang dihadapi Malaysia Masa PH, jatuh ekonomi kita. Masa PN, begitu juga.

“Adakah Malaysia masih memilih untuk duduk dan tunggu? Jika tidak dibetulkan dan beralih kembali kepada landasan yang betul, maka Malaysia bakal menghadapi masalah besar dalam masa terdekat,” dakwanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button