Bola SepakSukan

Indonesia benam Malaysia 1-4 Piala AFF

MALAYSIA terkeluar daripada saingan Piala AFF 2020 selepas tewas 1-4 kepada Indonesia pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Singapura, malam tadi, lapor Bernama.

Indonesia yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tempat di separuh akhir tidak patah semangat sebaliknya rancak mengatur serangan ke kubu pertahanan negara yang tempang tanpa dua pertahanan tengah utama iaitu kapten pasukan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Mohd Saad.

Ketiadaan dua tonggak itu diisi dengan gandingan pemain kacukan Dion Cools dan Junior Eldstal yang gagal mencapai keserasian dan persefahaman yang baik terutama di bahagian kiri bersama Muhammad Syahmi Safari.

Kepincangan itu dihidu skuad Garuda untuk meledak gol penyamaan menerusi Irfan Samaling Kumi pada minit ke-36 yang berpunca dari serangan balas selepas penyerang negara Muhammad Syafiq Ahmad terlepas peluang keemasan untuk menggandakan kedudukan buat Malaysia seminit sebelum itu.

Irfan Samaling sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring yang juga gol ketiganya pada kempen itu pada minit ke-43 apabila mudah menolak masuk bola yang melantun hasil percubaan Pratama Arhan Alif Rifai sekali gus kedudukan 2-1 itu kekal sehingga rehat.

Bersambung babak kedua, Cheng Hoe membuat keputusan berani mati apabila mengarahkan Dion beraksi di bahagian serangan untuk memberi laluan kepada Dominic Tan yang menggantikan pemain sayap Muhammad Safawi Rasid yang mengalami kecederaan pada penghujung babak pertama.

Bagaimanapun semangat Malaysia untuk bangkit direntap seawal babak kedua apabila Indonesia meledak jaringan ketiga pada minit ke-50 hasil rembatan dari luar kotak penalti Pratama Arhan yang gagal diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Indonesia kali terakhir beraksi di separuh akhir pada edisi 2016 tidak menunjukkan tanda-tanda memperlahankan tempo sebaliknya terus mengasak memberi tekanan kepada Malaysia yang terus hilang arah dalam usaha memburu keajaiban.

Pemain sayap Muhammad Akhyar Abdul Rashid serta dua penyerang iaitu Guilherme De Paula dan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dibawa masuk namun tiada perbezaan ketara sebelum Indonesia melengkapkan malam gemilang menerusi gol keempat oleh pemain gantian Elkan William Tio Baggot pada minit ke-82.

Kemenangan itu juga menyaksikan Indonesia akhirnya melunaskan dendam dua kekalahan di tangan Malaysia pada saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Dalam satu lagi aksi terakhir Kumpulan B, juara bertahan Vietnam membenam Kemboja 4-0 di Stadium Bishan, untuk mengiringi Indonesia ke separuh akhir.

Empat gol skuad Naga Emas itu masing-masing dijaringkan Nguyen Tien Linh pada minit ketiga, Nguyen Tien Linh (minit ke-27), Bui Tien Dung (minit ke-55) dan Nguyen Quang Hai pada minit ke-57.

Peringkat separuh akhir Piala AFF 2020 menyaksikan Indonesia akan berdepan Singapura yang menamatkan saingan Kumpulan A di tangga kedua sementara Vietnam akan membuat perhitungan berhadapan juara Kumpulan A Thailand dalam satu lagi aksi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button