Juruwang stesen minyak antara PATI ditahan Imigresen
JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan sebanyak 12 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) selepas menyerbu sebuah premis stesen minyak di Petaling Jaya, semalam.
Operasi yang dijalankan kira-kira pukul 12 tengah hari itu dilakukan dengan kekuatan 31 orang pegawai Imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua yang ditahan dipercayai bekerja sebagai sebagai juruwang, tukang masak, tukang cuci kereta dan pekerja barisan hadapan di premis tersebut.
“Kesemua mereka tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk bekerja di premis tersebut serta menyalahgunakan pas atau permit yang sedia ada.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki warganegara Bangladesh dan enam lelaki warganegara India,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Khairul Dzaimee, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Jelasnya, kesemua PATI telah dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya untuk menjalani ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu sebelum dibawa ke Ibu pejabat Imigresen Putrajaya untuk proses dokumentasi.
“Sebanyak Dua Borang 29 (Saman Saksi) dikeluarkan kepada majikan premis bagi membantu siasatan dan kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan bagi tindakan lanjut,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan dan memastikan semua pegawai Imigresen memberikan komitmen yang sepenuhnya serta mematuhi norma baharu dalam menghadapi musim wabak COVID-19 bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. -SM