Imej Indonesia dirosakkan oleh rakyat sendiri
BARU-BARU ini kecoh apabila pihak berkuasa Indonesia melaporkan bahawa 45 warga Malaysia menjadi mangsa dakwaan peras ugut anggota polis semasa konsert Projek Gudang Djakarta (DWP), di Jakarta.
Ketua Bahagian Profesion dan Keselamatan (Propam) Polis Negara, Inspektor Jeneral Abdul Karim menyatakan bahawa bukti yang dirampas bernilai IDR 2.5 bilion (RM718,068).
“Dua aduan rasmi difailkan oleh warga Malaysia,” katanya
DWP sebelum ini dalam satu kenyataan mengakui mengenai kejadian itu dan menyatakan kekesalan terhadap insiden yang dialami oleh pengunjung.
“Walaupun aspek tertentu situasi tersebut berada di luar kawalan kami, kami memahami sepenuhnya kesannya terhadap anda,” menurut kenyataan itu dalam satu hantaran di Instagram rasmi mereka pada Rabu.
Susulan daripada insiden terbabit, ramai pengunjung melahirkan kekesalan terhadap insiden yang berlaku.
Malah, rakyat Malaysia yang hadir pada acara tersebut turut mengakui agak trauma dan serik untuk kembali menyertai festival muzik tersebut pada masa akan datang.
Pada masa sama, terdapat juga antara mereka berkongsikan pengalaman menakutkan yang dihadapi ketika tampil pada konsert berkenaan.
“Saya rakyat Malaysia dan saya tidak pergi ke sana lagi. Kawan-kawan saya yang tidak bernasib baik semua ditangkap secara rawak, walaupun mereka tidak melakukan dadah dan ujian air kencing adalah negatif.
“Saya telah datang menyertai DWP banyak kali tetapi tahun ini cukup teruk. Kami tidak berasa selamat sama sekali untuk menikmati muzik.
“Saya tidak akan mengesyorkan rakan saya untuk pergi ke festival muzik ini lagi. Jadi ya, tidak lagi untuk DWP,” kongsi sunduuuuuu.
“Selama 10 tahun, saya menyokong dan sangat seronok menyertai DWP. Tetapi untuk tahun ini, ia bertukar menjadi mimpi ngeri. Pada malam kedua, polis menyerbu hotel kami semasa kami sedang tidur.
“Mereka membawa kami ke ibu pejabat dan melakukan lakonan yang cukup baik untuk memeras sehingga 300 juta rupiah (kira-kira RM83,600) daripada kami.
“Saya sukakan Indonesia, tetapi saya tidak akan menghadiri DWP lagi,” katanya,” ujar zainal_rahman68.
Sementara itu, seorang pengguna, ez.rawr mendakwa dia dan rakannya menyedari mengenai kehadiran polis yang menyamar sebagai ‘mata-mata’, dipercayai untuk mencari mangsa ketika konsert berkenaan.
“Ada dua orang polis yang menyamar melihat saya dan rakan saya selama 15 minit terus. 10 minit kemudian, mereka pergi memberhentikan pasangan lain secara rawak tanpa sebab sebelum mengiringi pasangan itu ke tempat lain.
“Terasa tidak selamat selepas mendengar cerita negatif berkenaan konsert terbabit. Perbuatan memeras ugut cukup mengerikan. Saya tidak akan pernah kembali ke DWP dan sebaliknya akan menghadiri festival di Thailand,” ujar ez.rawr.
Itu adalah kejadian besar yang melibatkan pemerasan pelancong asing yang datang ke Indonesia. Sebenarnya banyak kejadian yang berlaku, bukan sahaja diperas ugut pihak berkuasa, bahkan penduduk setempat dengan pelbagai cara.
Baik daripada peniaga, samseng atau preman di tempat letak kereta, pelancong asing sering berdepan dengan tindakan agresif penduduk setempat yang mahu mengaut keuntungan daripada kehadiran pelancong asing.
Kes penipuan sudah menjadi perkara biasa sehingga ia dianggap tidak lagi melanggar undang-undang.
Namun dapat dilihat daripada jumlah kedatangan pelancong asing yang tidak ramai berbanding negara jiran lain. Semuanya kerana mereka berasa tidak selamat, selain masalah pengangkutan dan jalan perhubungan ke lokasi tarikan pelancongan.
Pengalaman penulis ketika bertugas sebagai wakil Utusan Malaysia di Jakarta menyaksikan pelbagai kejadian, termasuk nama tiba-tiba tiada dalam senara penumpang penerbangan, namun setelah membayar RM600 barulah nama ada di dalam senarai penerbangan pulang ke Malaysia.
Mungkin tempat yang terasa selamat adalah ketika berkunjung ke Bali. Badan Pusat Statistik (BPS) Provinsi Bali mencatat jumlah pelancong asing yang berkunjung ke Pulau Dewata pada Ogos 2024 mencapai 616,641 orang.
Jadi tidak hairan apabila Bali lebih dikenali oleh pelancong asing berbanding Indonesia itu sendiri.
Lihat pula Thailand menyambut kedatangan 32.7 juta pelancong antarabangsa antara 1 Januari dan 8 Disember 2024, menghasilkan kira-kira 1.535 trilion baht (100 Baht = RM13.12) dalam pendapatan pelancongan, menurut Menteri Pelancongan dan Sukan Sorawong Thianthong.
Beliau berkata sepanjang 2 hingga 8 Disember, negara itu mencatatkan 699,129 ketibaan pelancong antarabangsa dengan purata 99,876 pengunjung setiap hari.
Malaysia pula menerima sebanyak 20,141,846 pelancong asing ke Malaysia pada 2023 dan 10,070,964 dicatatkan pada 2022.
Itu belum dilihat negara Vietnam yang kini semakin popular dalam kalangan pelancong asing.
Thailand mencatatkan peningkatan jumlah pelancong asing terbesar dan ia tidak berlaku secara magis, tetapi tindakan teliti oleh kerajaan berkenaan.
Ketika Covid-19 melanda seluruh dunia, Thailand tidak terkecuali terkena dampaknya. Pelacuran yang menjadi tarikan utama pelancongannya, telah lumpuh sama sekali. Namun, kerajaan Thai bijak memanfaat situasi itu dengan membersihkan kawasan-kawasan yang terkenal dengan aktiviti pelacuran dan digantikan dengan kegiatan pelancongan yang sebenar.
Menyedari kehadiran pelancong beragam Islam yang banyak, kerajaan mengambil inisiatif mewujud pasar malam dan restoran yang menyajikan makanan halal. Ternyata strategi itu berkesan. Berbondong-bondong pelancong Islam khususnya dari negara serantau membanjiri Thailand. Mereka juga menghebahkan keselamatan Thailand telah terjamin, selain kebersihan yang dijaga.
Disinilah Indonesia harus belajar. Perkara asas yang perlu dilakukan oleh negara tetangga itu adalah dengan meningkat tahap pendidikan majoriti penduduk yang mencecah hampir 300 juta orang.
Pada masa ini majoriti penduduk negara berkenaan hanya menamatkan sekolah peringkat menengah rendah sahaja. Ini tidak akan dapat melonjak negara itu mencapai status negara yang lebih baik.