Luar Negara

Ibu rayu jangan cium bayi selepas anak dijangkiti Herpes

SEORANG ibu menggesa orang ramai supaya tidak mencium bayi orang lain selepas anak kecilnya dijangkiti virus herpes.

Ibu prihatin itu terpaksa melihat anak kesayangan mereka menderita dengan keadaan gusi dan mulut yang teruk dipenuhi dengan nanah dan luka.

 

Menurut laporan Mirror, wanita tersebut yang berkongsi kisahnya dalam laman Instagram paramedik Tiny Hearts berkata dia tidak tahu bagaimana anak kecilnya mendapat virus itu.

“Kami tidak pernah berjumpa atau berhubung dengan sesiapa yang mengalami kudis aktif.

“Tetapi jujurlah, bayi akan memasukkan apa sahaja ke dalam mulut mereka.

“Saya tidak dapat menyatakan dengan cukup betapa pentingnya kebersihan persekitaran yang baik bagi mereka yang mengalami kudis ini dan perlu berhati-hati apabila berada di sekeliling anak kecil.

“Tiada bayi atau ibu yang perlu menanggung ini,” katanya.

Anaknya mengalami ketidakselesaan yang sangat teruk menyebabkan dia dibawa ke hospital sebanyak dua kali.

Diharapkan keadaan anaknya menjadi semakin baik dalam masa dua minggu.

“Kini sudah lebih seminggu bayi saya membiarkan makanan pejal daripada menyentuh bibirnya.

“Apa yang bayi saya mahu lakukan ialah menghisap jarinya tapi dia tidak boleh melakukannya.

“Tiada apa yang boleh saya lakukan untuk menghilangkan kesakitannya,” ujarnya.

Paramedik yang mengendalikan laman Instagram Tiny Hearts, Nikki turut menyatakan empati kepada ibu tersebut.

“Bayi itu bersusah payah untuk minum air kerana dia berasa sangat sakit akibat lepuh yang menutupi mulutnya akibat virus herpes.

“Hati saya benar-benar hancur untuk keluarga ini.

Nikki turut berkongsi pengalaman ngeri yang pernah dilalui olehnya apabila anaknya juga pernah dijangkiti virus herpes.

“Mereka tidak boleh makan, tidak boleh tidur dan menolak ubat kerana ia menyebabkan lebih banyak kesakitan.

“Berat badan mereka juga turun dan mengalami dehidrasi yang menyebabkan mereka lebih tidak sihat,” katanya.

Dalam pada itu, Nikki turut memberi peringatan kepada ibu bapa untuk melindungi anak-anak bagi mengelakkan kejadian yang sama berlaku lagi.

Dia turut menasihati orang ramai supaya tidak mencium bayi sembarangan dan sentiasa membasuh tangan sebelum memegang bayi.

Tambahnya, jangan biarkan anak-anak berkongsi minuman, peralatan makan dan tidak membenarkan sesiapa memasukkan jari ke dalam mulut bayi.

Sekadar info, virus HSV-1 atau herpes sangat mudah disebarkan kepada bayi dan kanak-kanak kecil melalui sentuhan dan ciuman.

Dalam senario terburuk, virus ini boleh membawa maut.

Ia adalah keadaan jangka panjang yang boleh menjadi aktif semula.

Herpes amat berbahaya bagi bayi di bawah umur enam bulan dan bayi yang baru lahir kerana sistem imunisasi mereka masih berkembang. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button