Mahkamah

Ibu bersyukur, 9 termasuk pembuli diperintah bayar RM616,634.20

SEORANG ibu kepada pelajar yang menjadi mangsa buli pada April 2017 bersyukur kerana anaknya mendapat pembelaan.

Sembilan pihak termasuk lima bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) hari ini diarahkan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu membayar tuntutan RM616,634.20 kepada anak lelakinya yang menjadi mangsa buli, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan difailkan plaintif yang ketika kejadian berusia 14 tahun menerusi bapanya, Ahmad Fauzi Abdullah, 50, pada 2 April 2017.

Ibu plaintif, Rusaila Abdullah, 43, yang hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan bersyukur kerana keputusan memihak kepada anak lelakinya.

“Alhamdulillah bersyukur semuanya sudah selesai. Apa yang kami lakukan ini (tuntutan) bukan untuk wang, tetapi demi pembelaan anak kami yang masih trauma sehingga hari ini dan hilang pendengaran akibat dibuli,” katanya.

Dalam kejadian tersebut mangsa ketika itu pelajar Tingkatan Dua telah dipukul, ditendang dan ditampar oleh pelajar Tingkatan Lima.

Mangsa yang merupakan pelajar pintar memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah pada 2013 kekehilangan pendengaran sebelah kanan kerana gegendang telinganya pecah selain mengalami beberapa kecederaan lain.

Dia  turut mengalami tekanan perasaan dan trauma sehingga terpaksa bertukar ke sekolah lain pada Julai 2015.

Lima pembuli yang juga bekas pelajar sekolah itu selaku defendan pertama hingga lima yang kini berusia 21 tahun diperintahkan membayar tuntutan.

Turut diperintah membayar tuntutan adalah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sulaiman Ngarif (defendan keenam), bekas pengetua SESMA, Meriam Jusoh (defendan ketujuh), Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (defendan kelapan) dan kerajaan Malaysia (defendan kesembilan).

“Pihak sekolah dilihat begitu cuai kerana tidak membuat kawalan sedangkan kejadian berlaku di dalam bilik asrama ketua pengawas, bukannya di tepi longkang atau di kaki lima.

“Jadual warden bertugas juga sudah disusun begitu cantik, tetapi tidak berguna jika tak menjalankan tugas diamanahkan. Lebih baik letak jawatan dan jadi guru biasa sahaja.

“Bagi defendan keenam dan ketujuh pula, mereka cuai dalam menjalankan tanggungjawab memastikan kebajikan warga sekolah terutama keselamatan pelajarnya,” kata Hakim Zainal Azman .-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button