Hospital berjaya pisahkan kembar siam pramatang
PETALING JAYA: Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur mencipta sejarah semalam apabila doktornya berjaya melakukan pembedahan ke atas sepasang kembar siam pramatang seberat 2.7kg.
Perunding pembedahan kanak-kanak HTA Dr Zakaria Zahari berkata, pembedahan sebegitu biasanya dilakukan ketika bayi berusia tiga hingga enam bulan.
Namun akibat komplikasi, pasangan kembar itu terpaksa menjalani pembedahan segera ketika mereka baru berusia 17 hari.
Kembar lelaki itu dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, dan telah dirujuk ke HTA, sebelum ini dikenali sebagai Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur, oleh pakar neonatologi HRPB Dr R Maneet Kaur untuk rawatan lanjut.
“Keputusan untuk melakukan pembedahan berisiko tinggi itu dipersetujui selepas perbincangan antara HRPB dan doktor pakar HTA secara dalam talian pada 15 Mac,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh unit komunikasi korporat HTA.
HTA berkata Zakaria disertai enam lagi pakar bedah pediatrik dari seluruh Malaysia dan pasukan anestesia pediatrik diketuai Dr Intan Zarina Fakir Mohamed dan Dr Ruwaida Isa, serta hampir 20 jururawat dan kakitangan bilik bedah pediatrik.
“Kembar itu berjaya dipisahkan dalam masa 66 minit tanpa komplikasi besar,” katanya.
Menurut HTA, kembar siam itu berkongsi bahagian hati tetapi organ lain didapati normal.