Ekonomi

HHRG Bhd gantung pengarah urusan, dua pengurus bantu siasatan dalaman

Lembaga pengarah HHRG Bhd telah menggantung pengarah urusan serta dua pengurus dari anak syarikat 51 peratus miliknya, MG Furniture Sdn Bhd (MGF) selain menyerahkan surat tunjuk sebab untuk memudahkan penyiasatan dalaman.

Syarikat itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata individu tersebut iaitu Ch’ng Chen Mong (CCM), Ch’ng Boon Sin (CBS) dan Sau Hwee Fern (SHF) digantung pada 24 Mac 2025, manakala surat tunjuk sebab dikeluarkan pada 27 Mac 2025.

Penggantungan itu adalah untuk memudahkan proses penyiasatan dalaman yang berkaitan dengan perjalanan operasi MGF dan disebabkan tidak mematuhi arahan Lembaga MGF untuk mematuhi perintah mahkamah.

“Tempoh penggantungan adalah selama dua minggu dan kakitangan ini, masing-masing dikehendaki menjawab surat tunjuk sebab itu, kemudian, Lembaga MGF akan membuat keputusan,” katanya.

Dalam tempoh penggantungan, tugas serta tanggungjawab sedia ada CCM, CBS dan SHF di MGF tidak akan memberi kesan kepada kewangan atau operasi syarikat serta MGF.Dalam satu makluman berasingan ke bursa hari ini, lembaga pengarah HHRG telah memutuskan untuk tidak mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) berikutan permintaan bertulis daripada pemegang saham terbesar, Digital Trustees Bhd (DTB) pada 14 Mac 2025, untuk mengeluarkan lima pengarah syarikat dari lembaga dan melantik tiga ahli baharu.

Syarikat itu juga telah memfailkan prosiding undang-undang untuk menghentikan EGM daripada diadakan.

“Lembaga pengarah syarikat berpendapat bahawa resolusi yang dicadangkan oleh DTB, jika diluluskan, tidak akan menjadi kepentingan terbaik syarikat itu,” katanya.

HHRG adalah syarikat induk pelaburan yang terlibat dalam pembuatan dan perdagangan bahan biojisim serta produk nilai tambah, yang memberi tumpuan kepada serat tandan buah minyak kelapa sawit kosong, serat kelapa dan produk-produk tambah nilai.

– Bernama

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button