Nasional

Henti jual produk yang ada label diskriminasi minyak sawit

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyeru premis perniagaan berhenti menjual produk berlabel diskriminasi terhadap minyak sawit (DLAPO).

KPK menerusi satu kenyataan mendakwa, ada premis didapati terus menjual dan mempamerkan produk dengan label antiminyak sawit walaupun tindakan itu jelas melanggar peraturan.

Susulan itu, mana-mana pihak dan premis yang didapati menjual produk berlabel antiminyak sawit di sepanjang rantaian bekalan produk akan diambil tindakan berikutan tempoh dua tahun ‘grace period’ sudah diberikan.

“Ribuan pemeriksaan dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di seluruh negara dan KPK mendapati masih terdapat premis yang menjual produk sedemikian

“Sepatutnya tempoh dua tahun sebagai ‘grace period’ telah cukup untuk pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya seperti mengeluarkan secara sukarela produk-produk DLAPO dari rak penjualan,” kata kementerian itu.

Sebagai rekod, berkuatkuasa 15 Mac 2022, ungkapan atau petunjuk yang berunsur antiminyak sawit adalah dilarang dipakai dalam perdagangan atau perniagaan

Ia berdasarkan Peraturan-peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Sementara itu KPK menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan pihak KPDN dalam usaha membanteras isu pelabelan yang bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit.
KPK juga sentiasa mengadakan seminar dalam usaha berterusan memberi kesedaran lebih mendalam kepada masyarakat dan industri termasuk syarikat pengimport, pengedar dan penjual mengenai pentingnya menyokong industri sawit yang mampan.

“Pada masa sama, ia bertujuan menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi tidak berasas kepada minyak sawit melalui aktiviti pelabelan produk DLAPO,” kata kenyataan itu lagi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button