Hasrat Adib untuk mara ke CP125
Pusingan keenam Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Litar
Permotoran Terengganu pada hujung minggu ini. Md Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27
Racing akan meneruskan semangat kejuaraan di kategori Wira KBS.
Setelah menamatkan perlumbaan di podium sebanyak tiga kali pada musim ini, Adib kini menduduki
tempat ketiga secara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 67 mata. Pencapaiannya setakat ini
menunjukkan peningkatan di dalam prestasinya berbanding dengan musim lepas di mana beliau
hanya mampu menamatkan perlumbaan 10-pusingan di tempat ketujuh secara keseluruhan.
Mungkin kerana tahun lepas adalah tahun pertama bagi beliau di kategori Wira KBS yang agak
berlainan berbanding dengan kategori “one-make” yang beliau sertai pada tahun sebelumnya.
Musim ini, beliau telah memaparkan bukan sahaja kemahiran tunggangan yang mantap malah
kebolehan beliau untuk bertanding secara kompetitif di litar teknikal dan litar kelajuan tinggi. Ini
adalah suatu pencapaian progressif yang penting bagi seorang pelumba, lebih-lebih lagi bagi mereka
yang ingin mara ke kategori yang lebih mencabar. Bagi Adib, ini adalah suatu permulaan yang baik
memandangkan pencapaiannya yang telah bertambah baik dan juga kebolehan beliau untuk
memberikan saingan yang hebat kepada pesaing-pesaing yang lain.
Menurut beliau, “Pada pendapat saya, prestasi saya semakin meningkat dari segi tunggangan, posisi
badan saya dan juga kekuatan mental. Berbanding dengan musim lepas, musim ini agak bagus untuk
saya. Pasukan saya banyakkan latihan di SIC dengan menggunakan jentera latihan. Latihan memang
intensif, lebih-lebih lagi dengan bimbingan jurulatih. Ini adalah penting kerana latihan di atas jentera
memberikan saya lebih “mileage”.”
“Pada pusingan yang akan datang, saya akan buat yang terbaik untuk mengekalkan mata
keseluruhan. Saya masih mempunyai ruang untuk memperbaiki cara tunggangan saya. Dari segi
jentera, pasukan saya juga cuba sebaik habis untuk menaikkan taraf jentera saya dari segi
“performance”. Pada pusingan lepas, kami menghadapi sedikit kesulitan dan tidak dapat mencari
penyelarasan enjin yang baik. Semasa perlumbaan, masalah cuaca juga menyebabkan masalah
transmisi dan enjin menjadi terlalu panas. Pada pusingan seterusnya, kami akan cuba untuk
menguasai perlumbaan supaya dapat mencapai mata yang perlu untuk mengekalkan kedudukan.
Saya berharap tahun ini saya dapat meraih takhta kejuaraan dan mendapat peluang untuk mara ke
kategori CP125.”
Artikle Berkaitan :>
Atlet lamar kekasih di sukan Olimpik