Hanya Aaron-Wooi Yik lepasi halangan separuh akhir
Dua lagi beregu terkandas di tangan pasangan Korea Selatan
HARAPAN untuk melihat lebih daripada satu wakil Malaysia ke perlawanan akhir tidak kesampaian apabila hanya beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya berbuat demikian pada separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Thailand Toyota di Impact Arena, Bangkok, hari ini.
Beregu No. 9 dunia itu diberi tentangan sengit sebelum mereka beroleh kemenangan straight set ke atas pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty
21-18, 21-18.
Aaron-Wooi Yik mengambil masa 32 minit untuk menyingkirkan pasangan No. 10 dunia itu dan sekali gus, membalas dendam kekalahan rakan senegara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di tangan wakil India itu pada suku akhir, semalam.
Perlawanan, esok merupakan penampilan kedua Aaron-Wooi Yik dalam aksi final Jelajah Dunia Super 1000 setelah kali pertama mereka berbuat demikian pada All England 2019.
Bagaimanapun, lawan yang menanti Aaron-Wooi Yik pada perlawanan akhir bukanlah calang-calang pencabar apabila mereka bakal berdepan pasangan No. 7 dunia, Lee Yang-Wang Chi Lin.
Beregu Taiwan itu mengetepikan pasangan veteran Indonesia yang diletakkan selaku pilihan kedua, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan menerusi kemenangan 14-21, 22-20, 21-12 di separuh akhir.
Berdasarkan rekod pertemuan lalu, keputusan tidak berpihak kepada Aaron-Wooi Yik apabila Lee Yang-Chi Lin mencatat kemenangan daripada kedua-dua pertemuan mereka pada 2019 di Jelajah Dunia Akhir HSBC BWF dan Gwangju Korean Masters.
Namun, kali ini penampilan Aaron-Wooi Yik dibantu oleh jurulatih berpengalaman Indonesia, Flendi Limpele yang menyertai skuad kebangsaan pada tahun lalu.
Mungkin dengan bantuan Limpele, akan dapat membantu pasangan negara yang diletakkan selaku pilihan kelapan itu menebus kehampaan Goh V-Shem-Tan Wee Kiong yang tumpas dalam aksi final Terbuka Thailand Yonex kepada beregu Taiwan itu, minggu lepas.
Sementara itu, dua lagi beregu Malaysia, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See terkandas di separuh akhir kepada pencabar dari Korea Selatan.
Beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean terpaksa akur dengan lawan yang lebih kuat dan diletakkan selaku pilihan keempat, Kim So Yong-Kong Hee Yong apabila mereka tewas 17-21, 6-21 dalam masa 39 minit.
Dalam aksi beregu campuran pula, gandingan muda negara yang tampil buat kali pertama dalam karier mereka pada Jelajah Dunia Super 1000, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See tumpas kepada beregu No. 6 dunia, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 9-21, 16-21. – SM