Hansard Dewan Rakyat catat King Sing sebut ‘DG takut mati’
HANSARD atau Penyata Rasmi Dewan Rakyat mencatatkan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing menyebut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah takut mati.
Berikut kenyataan penuh penyata rasmi Dewan Rakyat dialog ahli Parlimen yang terlibat dalam kontroversi yang divetuskan oleh King Sing.
Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan.
Tuan Yang di-Pertua, pertama sekali saya hendak ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua front liners dalam usaha kita perangi pandemik COVID19. Dalam COVID-19 ini, kita nampak sekarang memang grafnya bukan alang-alang.
Kita sekarang sudah sampai empat digit. Saya sendiri berpandangan, saya nampak kali ini bukan kata rakyat tidak bekerjasama, saya rasa KKM ada kelemahan, human error. Kita hari-hari umum dalam berita kata kluster sini sana, berapa kluster ada.
Kenapa kita tidak lockdown tempat kluster itu? Kita test semua terlibat ataupun samasama ataupun satu kampung ataupun satu taman. Kita kasi test, jangan bagi mereka pusing satu dunia. Sekarang semua negeri lockdown.
Ini DG hari-hari buat berita saja, bikin apa? Kalau kita itu berita, bagi itu office boy dia pun boleh baca. Kenapa dia tidak turun padang? Macam sekarang di KK, Sabah, begitu teruk, begitu hebat pandemik COVID-19. Kenapa dia tidak turun melawat tiap-tiap hospital? Temporary hospital, kita pergi tengok.
Berbincang bagi moral support front liners juga. Doktor, jururawat, mereka semua bekerja sana. Jangan hantar sahaja doktor pergi, jururawat pergi. Oh, itu orang tidak takut mati, tetapi DG takut mati. Timbalan DG pun tidak pergi. Apa sudah jadi? Tak usahlah hari-hari hendak buat publisiti…
Penyata rasmi yang boleh diekses di laman sesawang Parlimen turut mencatatkan King Sing menengaskan Dr. Noor Hisham takut mati.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji [Jelutong]: Saya minta Yang Berhormat Bintulu tarik balik kenyataan “DG takut mati”.
Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu]: Memang itu DG takut mati. Apa fasal doktor semua turun sampai sekarang dia bikin apa?…
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji [Jelutong]: Saya minta Yang Berhormat Bintulu tarik balik kenyataan “DG takut mati”.
Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Sri Azalina Othman Said]: Yang Berhormat Jelutong.
Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu]: Kenapa dia tak turun? Sekarang Sabah…
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji [Jelutong]: Saya minta Yang Berhormat Bintulu tarik balik kenyataan “DG takut mati”.
Tuan Sim Tze Tzin [Bayan Baru]: Tuan Yang di-Pertua, DG ini…
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji [Jelutong]: Saya tidak akan benarkan dia hentam DG.
Penyata rasmi Dewan Rakyat turut mencatatkan King Sing tidak mahu menarik balik kenyataan bahawa Ketua Pengarah Kesihatan takut mati.
Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji [Jelutong]: Tuan Yang di-Pertua, saya minta Yang Berhormat Bintulu tarik balik kenyataan “DG takut mati”.
Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu]: Tak ada tarik balik.-SM