Halo Telco beri kejutan perabot kepada mangsa banjir
Rakyat Malaysia terkenal dengan sifat peramah, pemurah dan baik hati, sifat ini dapat dilihat ketika berlakunya bencana banjir di Lembah Klang dan Selangor di mana mereka bersatu padu dalam membantu mangsa-mangsa banjir.
Pelbagai pihak tidak kira sama ada NGO, orang awam dan syarikat persendirian bersama-sama menghulurkan bantuan tenaga kerja, barangan, makanan serta sumbangan wang.
Pengasas Halo Telco iaitu syarikat telekomunikasi, Muhammad Shukri Ab Rahim, 35, bersama kumpulan yang terdiri daripada 10 orang telah memulakan misi bantuan banjir pada Isnin lalu dengan melakukan kerja pembersihan rumah mangsa banjir.
Menurut Shukri, mereka mencari mangsa banjir yang memerlukan bantuan melalui media sosial Facebook dan menghubungi mereka terlebih dahulu untuk mendapatkan maklumat.
Memulakan misi bantuan pada hari isnin dengan membuat pemantauan di Hulu Langat kerana kawasan tersebut belum ada elektrik dan air.
“Lokasi pertama kami memberi bantuan ialah di batu 11 Cheras, lokasi kedua dan ketiga di hulu langat.
“Kami memilih mereka yang kekurangan tenaga kerja untuk membersihkan rumah di Facebook.
“Kami memberi sumbangan dari segi tenaga kerja untuk mencuci rumah mangsa tetapi selepas itu kami memberi kejutan kepada tuan rumah dengan memberi perabot seperti katil, sofa dan peti ais untuk memenuhi isi rumah,” katanya.
Selain itu, Shukri juga menyediakan sumbangan waterjet dan 200 toto kepada rumah-rumah berdekatan yang lain.-SM