Celoteh

Habis semua watak kau bunuh Liza!

Oleh Norliza Abd. Rahman

HUJUNG minggu lepas Mak Teh mengambil peluang menyertai bengkel penulisan skrip drama radio, drama televisyen dan filem. Bagi Mak Teh apa salahnya kalau ilmu dalam bidang penulisan ini dicambahkan sebab ia mengajak kita mengeluarkan idea yang berlainan.

Memang Mak Teh berpengalaman luas sebagai wartawan akhbar arus perdana selama lebih 20 tahun tapi bila melangkah masuk dalam bidang penulisan kreatif ia sama sekali berlainan. Terkebil-kebil juga bila masuk kelas. Lebih-lebih lagi sifunya adalah bekas rakan setugas yang garang tapi mesra alam.

Memanglah bila nak menulis tu kita perlukan idea, kalau tak ada idea macam mana nak meluahkan segala yang ada dalam kotak fikiran kita. Tapi kalau dapat berfikir diluar kotak lagi ‘best’ sebab ada kelainan dalam persembahan penulisan kita.

Masa menulis berita pun, kreativiti seseorang wartawan amat penting untuk menjadikan berita yang dihasilkan itu menarik waima mengenai kes kemalangan jalan raya. Sebagai contoh, ia cuma kes kemalangan biasa yang berlaku di sebuah kampung dan bukan melibatkan kes orang ada-ada.

Namun jika seseorang wartawan itu mengambil inisiatif pergi ke rumah mangsa dan mendapati dia adalah seorang ibu tunggal anak enam yang turut menjaga ibu bapanya yang uzur sudah tentu ada nilai tambah dalam berita tersebut.

Berita yang ditulis pula lebih menjurus ke arah kesusahan enam adik beradik yang hilang tempat bergantung dan ibu bapa kehilangan anak perempuan yang selama ini menjadi tonggak keluarga mereka.

Hasil tulisan tersebut akan lebih bermakna jika pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan dan bapa anak-anak itu kembali mengambil tanggungjawab untuk membela anaknya. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat pula menguruskan kebajikan dua ibu bapa yang hilang tempat bergantung.

Di sinilah akan hadir kepuasan dalam diri penulis. Dari satu kes kemalangan biasa akhirnya membuka mata banyak pihak betapa jasa seorang wanita yang terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk mencari nafkah walaupun akhirnya meragut nyawa dia sendiri kerana terbabas akibat keletihan. Jadi jangan fikir wartawan tak boleh buat pahala ya.

Berbalik kepada kursus penulisan skrip yang Mak Teh ‘joint’ baru-baru ni, Kepala memang ‘blank’ sebab ia cabang baru dalam penulisan dalam diri Mak Teh. Tambahan pula seseorang penulisan skrip perlu memerah otak untuk menzahirkan apa yang bersarang dalam jiwanya untuk diterjemahkan dalam bentuk dialog supaya penonton dan pendengar terhibur.

Mak Teh dan para peserta diajar oleh Kak Aminah Mokhtar @ Kak Min yang pernah dua kali dinobatkan sebagai penulis skrip drama radio terbaik anugerah Sri Angkasa. Lebih membanggakan Kak Min sama ‘group’ dengan Mak Teh tau.

Nak tulis drama radio bukan boleh main hentam kromok je dik, kita kena pastikan penonton faham jalan cerita yang kita sampaikan melalui dialog. Tanpa ada visual melainkan kesan bunyi seperti deruan ombak, deruan kenderaan, bunyi org kacau air, bunyi kerusi ditarik dan macam-macam lagi untuk mewujudkan mood sebenar ketika dialog dibacakan supaya meresap dalam diri pendengar.

Nada atau tonasi pelakon ketika membacakan skrip juga perlu diambil kira supaya lenggok perbualan itu nampak ‘real’. Dan sebagai penulis skrip kita perlu memberi arahan supaya penerbit dan pelakon dapat menjiwai watak-watak yang kita hidupkan. Nampak macam senang ke? Bagi Mak Teh yang masih hijau ni agak terkial-kial lagi tapi bila Kak Min berulang-ulang kali cakap senang je… senang je… senang je… Mak Teh cubalah jadikan ia betul-betul senang.

Tapi dalam masa yang sama mesti terselit mesej berunsur pengajaran kepada masyarakat. Betapa setiap konflik yang berlaku pasti akan ada jalan penyelesaian dan bagaimana ia hendak diselesaikan.

Bagi skrip drama televisyen pula, terkejut badak Mak Teh bila Kak Roy suruh setiap peserta siapkan. Dah le tak ada asas tiba-tiba kena buat skrip. “Eh, biau betul. Apa aku nak tulis ni.” Maka dengan segala imaginasi yang ada Mak Teh mula ‘study’ watak-watak melalui sinopsis yang disediakan.

Maka dengan jayanya dua watak Mak Teh matikan dan mangsa dalam cerita tersebut iaitu Maria dibunuh kejam sekejam-kejamnya! Dan Jantan yang merogolnya. Belum lagi macam mana seramnya hantu penanggal hisap darah orang mati beranak. Ish, tragis betullah imaginasi Mak Teh sampaikan Kak Roy gelar Mak Teh sebagai ‘pembunuh’.

Oklah Mak Teh nak sambung berimaginasi sebab dua skrip drama radio kena siapkan. Tah apa yang jadi nanti Mak Teh pun tak boleh nak fikir lagi. Sabar ek.

Minggu ni jom kita buat telur puyuh masak hijau.

Bahan-bahannya

15 biji telur puyuh
1/2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
Seinci halia
Seinci lengkuas
Seinci kunyit hidup
1 sudu ketumbar
1 sudu jintan manis
Minyak masak
1/2 cawan air asam jawa
3 biji cili hijau
Garam
Gula
Perasa jika suka

Cara-caranya

Rebus telur puyuh dan kupas. Panaskan minyak masak dan tumis bawang merah, bawang putih, halia, kunyit dan lengkuas yang dikisar. Sangai ketumbar, jintan manis dan dikisar halus. Apabila bahan tumis sudah pecah minyak masukkan ketumbar dan jintan manis yg telah dikisar. Masukkan air asam jawa, telur puyuh, bawang merah, cili hijau dan perasakan dengan garam dan gula.
Sedia untuk dihidangkan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button