
Gempa bumi bermagnitud 7.7 landa Myanmar, gegaran turut dirasai di negara jiran
KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda bahagian tengah Myanmar pada Jumaat, menyebabkan gegaran dirasai di beberapa negara jiran.
Gegaran akibat gempa tersebut turut menggemparkan penduduk di selatan Thailand, dengan ratusan orang dilaporkan bergegas keluar dari bangunan sebagai langkah keselamatan.
AFP melaporkan, sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di daerah Chatuchak, Thailand turut runtuh akibat gegaran itu.
Selain Thailand, difahamkan gegaran turut dirasai di Bangladesh, India, Laos dan China.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer dengan pusat gempa terletak kira-kira 17.2 kilometer dari bandar Mandalay yang mempunyai populasi sekitar 1.2 juta penduduk.
Setakat ini, masih belum ada laporan rasmi mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa susulan kejadian tersebut.
Pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan pemantauan bagi menilai impak gempa terhadap kawasan terjejas.