Acara

Gembleng usaha antara organisasi Islam, beri khidmat buat ummah

KANGAR 27 Ogos – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengingatkan agar semua organisasi Islam sentiasa menggembleng tenaga dan usaha dalam memberikan khidmat kepada ummah.

Titah Baginda lagi, usaha penyatuan tindakan berasaskan matlamat kolaborasi sejagat adalah sejajar dengan hasrat penubuhan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), sebuah organisasi global yang menghimpunkan 57 negara majoriti Muslim untuk menggalakkan kerjasama, persefahaman bersama dan tindakan kolektif terhadap isu-isu yang melibatkan dunia Islam.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra menurut kenyataan MAIPs ketika mengakhiri misi lawatan khas Safar Ilmi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerima jemputan Sultan Sokoto Nigeria dan pelaksanaan program jaringan antarabangsa di negara Nigeria dan Namibia baru-baru ini.

Turut mengiring ialah anakanda Baginda yang juga waris yang kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Titah Baginda lagi, antara bidang kerjasama melibatkan pelbagai agensi dan organisasi Islam sejagat yang wajar diterokai adalah seperti bantuan kemanusiaan, pendidikan dan penyelidikan, dialog antara agama, kebajikan sosial, serta ekonomi dan kemakmuran bersama.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan Ibnu Sabil berjumlah RM5,000 bagi membantu masyarakat Malaysia yang berhadapan situasi sukar dan kecemasan di Nigeria.

Sumbangan berkenaan diterima oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria, TYT Aiyub Omar bersama-sama Kaunselor, Sharmini Devi Gopal dan Setiausaha Ketiga, Sharifah Hazwani Balqis Syed Mohd Zawawi ketika mengucapkan selamat berangkat pulang kepada Baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Nnamdi Azikiwe, Abuja, ibunegara Nigeria.

“Umat Islam melalui pelbagai organisasi haruslah memberi bantuan kepada umat Islam yang terjejas akibat bencana alam, konflik, dan krisis ekonomi, serta menjalankan penyelidikan tentang isu-isu Islam, mempromosikan pendidikan Islam, dan menyediakan biasiswa kepada pelajar Islam,” titah Tuanku Pemangku Raja.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyarankan agar dilaksanakan dialog, penerangan bagi menggalakkan persefahaman dan saling menghormati serta menyediakan perkhidmatan sosial, seperti penjagaan kesihatan, tempat tinggal, makanan, selain lebih aktif melaksanakan inisiatif ke arah memperteguh ekonomi dan kemakmuran bersama.

(Foto : MAIPs)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button