Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.6 pada skala Richter dikesan berlaku di utara Sumatera, Indonesia pada 1.19 tengah hari tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan gegaran gempa bumi sederhana itu boleh dirasai sekitar Selangor dan Kuala Lumpur namun ia tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.
Gempa terbabit berlaku pada kedudukan 18 kilometer (km) tenggara dari Padang Sidempuan, Indonesia dan pada kedalaman 19km.
Sementara itu, pengguna media sosial turut berkongsi yang mereka merasakan sedikit gegaran berlaku akibat gempa bumi tersebut. -SM