Fungsi carian nombor pengenalan cukai bagi tujuan percukaian
Selaras dengan pengumuman oleh Kerajaan melalui Belanjawan 2025, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah menyediakan perkhidmatan carian Nombor Pengenalan Cukai (TIN) bagi tujuan yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 yang merangkumi aktiviti percukaian termasuklah bagi pelaksanaan e-Invois.
Platform carian TIN tersebut boleh diakses mulai 1 Januari 2025 melalui Portal MyTax (https://mytax.hasil.gov.my) dan klik menu Carian TIN.
Pembayar cukai boleh membuat carian TIN dengan memasukkan maklumat mengikut kategori:
- Individu: Nombor Pengenalan (Nombor Kad Pengenalan / Nombor Pasport);
- Selain Individu: Nombor Pendaftaran Perniagaan (BRN) atau Nama Pembayar Cukai yang didaftarkan di HASiL bagi yang tidak mempunyai BRN.
Bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois, fungsi carian TIN ini juga disediakan melalui mekanisme Portal MyInvois; dan Application Programming Interface (API) MyInvois.
Maklumat lanjut berhubung penetapan fungsi carian TIN melalui API boleh didapati melalui Software Development Kit (SDK) MyInvois.
Bagi menyokong penggunaan MyDigital ID, HASiL juga menyediakan akses carian TIN di Portal MyTax dengan menggunakan pengesahan identiti MyDigital ID. Fungsi ini hanya boleh digunakan oleh warganegara Malaysia sahaja.
Platform carian TIN melalui Portal MyTax atau MyInvois ini hanya akan memaparkan satu TIN yang sepadan berdasarkan maklumat carian yang dimasukkan.
HASiL juga ingin menasihatkan kepada pembayar cukai agar menggunakan fungsi carian TIN ini bagi tujuan yang diperuntukkan di bawah ACP 1967 sahaja. Mana-mana orang yang didapati melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan tindakan pendakwaan seperti mana yang dinyatakan di bawah Seksyen 66A, ACP 1967.- SM