Nasional

Forum #InvestInWomen bincang soal keterangkuman dalam talian

Seiring dengan sambutan Hari Wanita Sedunia 2024 dengan tema ‘Invest in Women: Accelerate Progress,’ Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bersama Gabungan Pertubuhan Wanita Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCWO) telah berganding bahu dalam melangsungkan sebuah sesi perbincangan dinamik
berjudul “#InvestInWomen – Inclusivity and Empowerment in the Digital Space.’

Acara ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat keterangkuman dan menyentuh isu-isu berkaitan
pengalaman wanita dalam ruang digital.

Lebih 100 peserta telah hadir ke Connexion Conference & Event Centre untuk dialog transformatif ini di mana pelbagai perspektif serta buah fikiran dikongsi oleh para penceramah termasuklah Aireen Omar, Presiden (Pelaburan & Usaha Niaga) Capital A; Tehmina Kaoosji, Wartawan Penyiaran Bebas; Maria Abdullah, Aktivis Hak Wanita, dan Serene Lim, Peguambela dan Penyelidik dalam Keganasan Berasaskan Jantina Dalam Talian, dan Dr Kiranjit Kaur, Naib Presiden KLSCWO serta ahli majlis CMCF.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, telah menyampaikan ucaptama di mana beliau mengutarakan perihal berkaitan kesaksamaan jantina dalam ruang digital dengan menekankan, “Dalam kita meraikan kemajuan luar biasa yang dicapai oleh wanita dalam alam digital, adalah penting untuk kita sedar bahawa perjalanan kita tidak terlepas daripada cabaran.

Gangguan dan perbuatan salah guna dalam talian masih kekal sebagai cabaran penting yang memerlukan perhatian kolektif kita.”

Menggariskan keperluan tersebut, beliau meminta semua individu untuk memainkan peranan dalam kawalan kendiri, dan membuat laporan mengenai salah laku dalam talian sedemikian kepada platform media sosial, MCMC atau CMCF.

Beliau menegaskan, “Membina kesedaran dan daya tahan dalam komuniti kita adalah penting kerana ia bukan sahaja melindungi wanita daripada penipuan tetapi juga memperkasakan kita untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam ekonomi digital dan memanfaatkan peluang yang ada.

“Saya yakin melalui kerjasama berterusan dengan organisasi seperti CMCF, kita boleh bekerjasama untuk mencipta ruang digital yang lebih selamat dan inklusif.”

Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood turut menyuarakan sentimen yang sama, dengan menyatakan bahawa, “Melalui apa yang lakukan di CMCF, kami menjadi saksi bahawa gangguan dalam talian, ugutan dan ucapan kebencian telah berlaku terhadap terlalu ramai wanita.

“Sekarang, kita juga menghadapi cabaran lain dengan kebangkitan penggunaan kecerdasan buatan (AI), di mana imej wanita boleh dimanipulasi dan disalahgunakan secara digital tanpa izin — menyumbang kepada eksploitasi dan budaya sedia ada seperti menanggapi wanita sebagai objek.”

Beliau menambah, “Kami tekad untuk bekerjasama untuk menangani cabaran ini secara berterusan dan mendorong ke arah perubahan yang berpanjangan ke arah yang lebih baik.”

Merapatkan Jurang Jantina dan Memperkasa Wanita dalam Ruang Digital Sebagai pembukaan sesi panel, Aireen membincangkan kesan teknologi digital terhadap masyarakat, khususnya mengenai marginalisasi. Beliau menekankan cabaran yang dihadapi dalam mendapatkan bakat untuk transformasi digital dan menekankan keperluan untuk merapatkan jurang jantina dalam bidang berkaitan teknologi.

Beliau juga menegaskan kepentingan menyelaraskan pendidikan dengan tuntutan industri untuk mengelakkan
peminggiran dan memastikan kemajuan untuk semua orang.

Menyentuh soal keterangkuman lagi, Maria menekankan kepentingan untuk memahami diskriminasi yang dihadapi wanita dan menyoroti keperluan untuk wanita mengakses maklumat, kemahiran, sumber dan keselamatan sosial bagi mengatasi cabaran khususnya dalam ruang digital dan peluang pekerjaan.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk memperkasakan wanita dengan keyakinan untuk menggunakan alatan seperti aplikasi mudah alih, secara berkesan, di samping sokongan yang lebih luas daripada kerajaan, korporat dan komuniti.

Mencipta Persekitaran Digital Yang Lebih Selamat

Tehmina berkongsi pandangan tentang peningkatan keganasan berasaskan jantina yang dibantu teknologi, menunjukkan risiko terhadap wanita dalam media dalam talian, termasuk algoritma yang berat sebelah dan pendedahan seksual melampau yang didorong oleh AI generatif.

Beliau juga menekankan keperluan untuk pelbagai wakil dalam industri teknologi, yang kini masih didominasi oleh lelaki, dan kewartawanan yang tepat untuk memerangi cabaran ini dengan berkesan.

Menyuarakan sentimen yang sama, Serene membincangkan cabaran berterusan berkaitan keganasan berasaskan jantina dalam talian, dengan menyatakan bahawa tiada definisi yang jelas dan data yang disepadukan di Malaysia.

Beliau menekankan keperluan segera untuk mewujudkan pendekatan yang selaras dalam menangani keganasan berasaskan jantina dalam ruang digital dan kesannya terhadap hak wanita.

Selain itu, beliau turut membangkitkan rasa ketidaktentuan dan ketakutan yang meluas dalam kalangan wanita dalam ruang digital yang membuatkan ramai di antara mereka mengundur diri.

Perkongsian ini mendedahkan keperluan yang amat besar untuk usaha bersepadu dalam memerangi keganasan dalam talian dan mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat.

Usai perbincangan panel, sesi perkongsian interaktif telah dijalankan bersama peserta untuk mendapatkan maklum balas mengenai peraturan berkaitan wanita dan jantina dalam Kod Kandungan 2022. Sesi dua hala ini bertujuan untuk mengenal pasti aspek untuk penambahbaikan dan kejelasan serta memupuk ekosistem  kandungan yang lebih mantap dan inklusif untuk masa hadapan.

Ke Arah Masa Depan Yang Lebih Saksama Sebagai penutup majlis, Dr Kiranjit Kaur, yang berucap bagi pihak Puan Anita Aqeela Hiong, Presiden KLSCWO, berkata, “Melalui usaha bersepadu kami, kami ingin mengutamakan peningkatan sumber mata pencarian dan pemerkasaan ekonomi wanita melalui pendidikan dan pengetahuan. Kami dengan sepenuh hati menyokong inisiatif untuk memupuk kesaksamaan jantina dan celik digital di Malaysia, mengiktiraf acara ini sebagai langkah penting ke arah memperkasakan wanita dan mendorong kita ke arah masa depan yang lebih saksama dan mampan.”

Forum #InvestInWomen berperanan sebagai tanda kemajuan, mencetuskan perbincangan dengan isi yang bernas dan memperoleh sumbangan fikiran bermakna daripada semua peserta pada acara tersebut.

Melalui usaha kolaboratif, acara ini bertujuan untuk menjadi pemangkin kepada perubahan positif, membina landasan untuk masa depan di mana wanita boleh berkembang dalam persekitaran dalam talian yang lebih selamat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button