
Fiziwoo juga dedah rekaan sampin turut diciplak
ISU plagiat kembali menjadi perbualan hangat di media sosial apabila pengasas jenama terkenal, Fiziwoo, Hafizi Radzi Woo, tampil mendedahkan bahawa rekaannya turut menjadi mangsa cetak rompak. Dalam satu hantaran di aplikasi Threads, Hafizi berkongsi beberapa foto yang menunjukkan bukti produk keluarannya telah ditiru oleh sebuah jenama tempatan.
Menurutnya, dia memilih untuk berdiam diri selama setahun bagi mengelakkan isu ini berpanjangan. Namun, akhirnya dia terpanggil untuk bersuara apabila melihat keadaan semakin berlarutan.
“Berniaga dengan menjadikan ketuhanan sebagai tagline, tetapi hasilnya diperoleh daripada sumber yang tidak berkat,” luahnya.
Hafizi turut menegaskan bahawa setiap perbuatan pasti akan menerima balasannya suatu hari nanti.
“Saya sudah lama berdiam diri, tetapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah juga.”
Dalam pada itu, beliau berharap agar kebenaran akan terbukti dengan cara yang tepat dan adil.