Hiburan

Filem Antaramasa tiada kaitan dengan XX Ray 2

Genre filem sains fiksyen yang berkonsepkan ‘time travel’ atau pengembaraan masa sudah kerap dihasilkan terutama sekali filem-filem Hollywood.

Malah, dunia perfileman tempatan juga pernah muncul dengan sebuah filem pengembaraan masa iaitu XX-Ray 2 yang mendapat sambutan penonton.

Yang terbaru, sebuah filem yang menggunakan konsep sama berjudul Antaramasa bakal menemui penonon tidak lama lagi terbitan Umair Mohamed dan Amir Rashid Othman di bawah syarikat Lux Ambiance Media Production.

Penerbitnya, Umair Mohamed berkata, idea untuk menghasilkan filem berkenaan timbul berikutan minatnya yang cukup mendalam kepada genre sains fiksyen. 

“Saya dan pengarah filem ini memang sejak dahulu amat meminati filem-filem sains fiksyen seperti Oblivion, The Butterfly Effect, XX-Ray dan lain-lain.

Related Articles

“Jadi, semasa kami sedang mengeluarkan idea untuk memilih jenis filem yang kami ingin buat, Antaramasa menjadi pilihan pertama. Ketika itu judul asalnya adalah Paradox,” jelasnya.

Umair berkata, konsep penggembaraan masa ini begitu diminati disebabkan sistem garis masa di dunia dan sistem garis masa di ruang angkasa amat berbeza. 

“Banyak sub-concept yang telah difikirkan seperti jika watak pertama kembali ke masa sebelum, adakah hanya pemikirannya ataupun secara fizikalnya?” ujarnya.

Diarahkan oleh Ramdan Che Hassan, Antaramasa menampilkan barisan pelakon seperti Josiah Hogan, Kaka Azraff, Adam Shahz, Riezman Khuzaimi, Indi Nadarajah, Tania Hudson serta penampilan istimewa iaitu Aziz M. Osman dan Aleeza Kasim.

Menceritakan lebih lanjut mengenai Antaramasa, Umair memberitahu ia lebih menjurus kepada kisah sains fiksyen dengan menerapkan elemen cinta menerusi jalan ceritanya.

“Bagi saya, elemen cinta sememangnya menjadi satu tarikan utama untuk penonton sekiranya ia digarap dengan begitu baik.

“Lagipun jalan cerita filem ini mudah untuk difahami, iaitu mengenai pemuda bernama Asri yang menggunakan mesin masa yang dicipta dan kembali ke masa lalu supaya dapat memulihkan hubungan dengan kekasihnya,” ujarnya.

Jelasnya, sebagai sebuah filem sains fiksyen, sebanyak 45 peratus babak dalam Antaramasa menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) serta menggunakan bajet yang besar dari segi penataan seni kerana melibatkan pembinaan set.

“Kami berharap filem ini dapat meningkatkan lagi minat terhadap penerbitan filem sains fiksyen dan juga memperluaskan lagi penggunaan CGI/VFX dalam filem-filem di negara ini. 

“Lagipun di Malaysia sebenarnya terdapat ramai tenaga kerja dalam bidang CGI yang amat berbakat dan kami juga adalah peminat filem sains fiksyen,” ujarnya. 

Menurutnya lagi, Lux Ambiance juga sedang merancang program bersama Ikhlasdotcom untuk menyalurkan sebahagian daripada keuntungan filem Antaramasa bagi membantu mereka yang amat memerlukan dan terjejas dengan keadaan MCO sekarang. 

Sementara itu, Ramdan selaku pengarah pula menyatakan idea pembikinan filem ini timbul pada tahun 2014 dia mengambil masa selama tiga bulan untuk menyiapkan skrip.

Jelasnya, pembikinan filem berkenaan agak mencabar daripada peringkat awal, termasuk bermula sejak penghasilan skrip lagi.

“Tidak dinafikan filem ini sangat mencabar, baik dari segi skrip, ketika penggambaran sehinggalah pasca produksi.

“Misalnya, saya perlu mengkaji banyak teori fizik kuantum dan theoretical serta merujuk banyak sumber-sumber berkaitan teori pengembaraan masa untuk mencari teori yang paling sesuai untuk dijadikan landasan dan peraturan dalam filem ini,” ujarnya.

Ujarnya, kekangan bajet untuk menghasilkan sebuah filem sains fiksyen serta keadaan cuaca yang tidak menentu juga merupakan satu cabaran buat produksi.

“Boleh dikatakan pelbagai perkara yang terpaksa dilalui, termasuk kekangan masa dan bajet untuk menyiapkan filem ini. 

“Malah, sepanjang penggambaran cuaca sering tidak mengizinkan apabila hujan lebat turun hampir setiap hari di semua lokasi. Sehinggakan kami terpaksa merakam satu babak benar-benar di dalam hujan,” ujarnya.

Jelasnya, penggambaran berlangsung selama 24 hari di beberapa buah lokasi seperti sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Nilai pada tahun 2014.

Sementara itu, mengenai penampilan istimewa Aziz M Osman dan Aleeza Kasim pula, Ramdan memberitahu Antaramasa tidak berkaitan dengan filem XX-Ray 2.

“Sebenarnya kami cuba membina filem ini dalam semesta yang sama dengan filem XX-Ray 2. Setelah mendapat persetujuan dari Aziz M Osman, kami menjejaki pelakon Aleeza Kassim yang ketika itu masih menetap di Belanda. 

“Setelah dapat menghubunginya, dia berminat dan bersetuju untuk terlibat dan dia sanggup pulang ke Malaysia semata-mata untuk berlakon dalam filem ini,” ujarnya.

Filem Antarmasa akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 1 Julai 2021 dan untuk melanggan sila ke saluran 480 atau boleh juga boleh distrim di Astro Go atau On Demand. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button