AgamaNegeriRencah Hidup

Fikir positif integriti boleh dicari – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya masyarakat hendaklah sentiasa berfikiran positif bahawa integriti sebenarnya boleh dicari malah dicapai melalui ketinggian integriti seiring dengan keimanan di jiwa seseorang individu itu.

Baginda bertitah, integriti wajar dijadikan sebagai ‘garis panduan’ atau ‘pegangan’ dalam menjalani kehidupan supaya dapat menjadi benteng kepada seseorang itu.

Titah Baginda, ia dapat mengelakkan daripada terjebak dengan sebarang perkara yang merugikan diri sendiri, agama, organisasi, negeri dan juga negara.

“Justeru marilah kita sama-sama menanamkan azam dan sematkan tekad dalam diri kita untuk menjadi manusia yang sentiasa berintegriti serta hanya ingin menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran di muka bumi Allah kerana itulah antara kewajipan kita sebagai hamba-Nya, serta memastikan kita berjaya di dunia dan di akhirat, InsyaAllah,” titah Baginda.

Demikian titah Raja Muda selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 140 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al-Ikram, Kampung Sena dan Masjid Al-Barakah, Kampung Jelempok yang diadakan di Masjid Al-Ikram, Kampung Sena Arau baru-baru ini.

Masing-masing menerima RM700 daripada Baginda dengan jumlah bernilai RM98,000.

Dalam perkembangan yang lain semalam, Raja Muda selaku Yang DiPertua MAIPs telah memperkenankan pengimarahan semula Masjid Nurul Hikmah Wang Bintong selepas ditutup bagi tujuan membaik pulih selama dua tahun.

Penyerahan Surat Kebenaran Operasi oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) disempurnakan oleh Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr. Hazman Hassan atas titah Baginda. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button