Acara

FAMA bantu usahawan kafe

KANGAR 13 Feb. – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis telah menyalurkan Geran Pembangunan Usahawan Perintis (Pembangunan Kiosk) bernilai RM60,000 kepada Sechaone Cafe & Bakery, yang terletak di Jalan Raja Syed Saffi, Kangar.

Sechaone Cafe & Bakery yang dimiliki oleh usahawan muda, Mohamad Syafiq Zahir juga telah dipilih sebagai salah satu destinasi pelancongan bagi Program Destinasi Agropelancongan Negeri Perlis 2025 yang telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada petang semalam sempena program MAIPs Peduli.

Menurut Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan, geran ini digunakan untuk membangunkan konsep ‘Glass House’ di premis kafe tersebut, menjadikannya lebih eksklusif dan menarik bagi para pelanggan.

Geran ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di bawah Pembangunan Outlet Usahawan Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT), yang melibatkan peruntukan hampir RM100,000 bagi tahun 2024. Ia bertujuan menaik taraf Agrobazaar K-SHOPPE serta beberapa outlet usahawan FAMA yang lain di Negeri Perlis.

Dengan wajah baharu dan konsep moden, Sechaone Cafe & Bakery berjaya menggandakan pendapatannya, hasil daripada peningkatan jumlah pengunjung terutamanya musim cuti sekolah, cuti umum, dan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Kafe ini bukan sekadar tempat untuk menikmati hidangan lazat, tetapi juga menjadi tarikan baharu yang memperkayakan sektor agropelancongan di Perlis.

Terlebih dahulu daripada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Bintong.

Kayuhan ini turut disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan, menjadikannya satu inisiatif bermakna dalam menyantuni golongan asnaf. Penyertaan pelbagai pihak memastikan usaha kebajikan ini memberi impak maksimum kepada masyarakat yang memerlukan.

Sebagai Yang DiPertua MAIPs, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada asnaf terpilih pada kali ini iaitu Amzah Mat Husain, 58 tahun, dan Kamis Arashad, 68 tahun, dari Kampung Wang Ulu, serta Hasnah Pin, 70 tahun, dari Kampung Jalan Raja Syed Saffi.

Setiap daripada mereka menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli, serta beras fidyah bagi membantu keperluan harian masing-masing.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button