Nasional

Fadhlina umum bantuan segera RM1,000 kepada mangsa kebakaran paip gas

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang melawat mangsa kebakaran akibat kebocoran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor mengumumkan bantuan segera sebanyak RM1,000 kepada pelajar, guru dan kakitangan Kementerian Pendidikan (KPM) yang terjejas akibat bencana kebakaran tersebut.

Katanya, komitmen KPM adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga institusi pendidikan terpelihara.
“Bagi permulaan KPM akan menyalurkan bantuan RM1,000 kepada setiap murid, guru dan warga institusi pendidikan KPM yang terjejas.

“Ini termasuk sokongan lain seperti bantuan persekolahan,” katanya dipetik Kosmo.

Selain itu kata beliau, dimaklumkan terdapat juga warga KPM yang mengalami kerugian besar akibat bencana tersebut termasuk kemusnahan semua barangan keperluan sekolah.

Ujarnya, KPM akan memastikan keperluan mangsa yang terjejas dipenuhi agar proses pembelajaran dapat diteruskan.
Kementerian juga, tambah Fadhlina akan memberikan bantuan psikososial serta sokongan akademik bagi membantu murid yang terkesan.
“Sesi persekolahan bagi mereka mungkin tertangguh bergantung kepada keadaan kesihatan dan persiapan selepas bencana ini. Setakat ini, seramai 102 murid, lima guru serta kakitangan KPM terjejas akibat bencana ini.
“Empat murid masih menerima rawatan di hospital. Keseluruhan pelajar yang terlibat datang daripada 23 buah sekolah di kawasan ini,” katanya lagi.
Sebanyak 107 warga Kementerian Pendidikan termasuk guru terjejas, empat mangsa masih dirawat di hospital.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button